Cubaan lari gagal, tiga pencuri kabel dicekup

SEPANG – Cubaan tiga lelaki warga tempatan melarikan diri selepas mencuri kabel telekomunikasi akhirnya gagal apabila mereka berjaya diberkas dalam dua tangkapan berasingan di kawasan Putra Perdana dan Sepang oleh Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Kejadian berlaku pada 11 dan 12 April lalu hasil rondaan berterusan anggota polis dari Balai Polis Putra Perdana dan Balai Polis Sepang.
Dalam kes pertama kira-kira jam 10.30 malam (11 April), dua lelaki berusia 35 hingga 40 tahun ditahan selepas cuba bertindak agresif ketika disekat oleh pasukan RCJ.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G Shan Gopal, kedua-dua suspek cuba meloloskan diri namun berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota polis.
“Pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti mencuri kabel seperti dua unit main hole key, batang penyangkut besi, dan sebuah kenderaan.
"Turut dirampas ialah telefon bimbit serta satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu,” jelas beliau.
Kerugian yang dialami syarikat telekomunikasi akibat kegiatan ini dianggarkan sebanyak RM3,600. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 4 pagi keesokan harinya (12 April), seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun diberkas oleh RCJ Balai Polis Sepang ketika dipercayai baru selesai mencuri kabel.
“Turut dirampas ialah dua gelung kabel TM dengan anggaran panjang kira-kira 30 meter. Nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM1,800,” tambah Shan Gopal.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Shan Gopal menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan awam atau merosakkan infrastruktur awam.
“Kami sedang mengesan rakan sejenayah lain yang masih bebas dan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti jenayah di daerah ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

