Dua sepupu maut: 'Saya menggigil tengok darah sangat banyak'

Dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang maut setelah terlanggar belakang lori yang diparkir di tepi Jalan Gambir 34, Bandar Baru Bukit Gambir, di sini, pada petang Jumaat.
Dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang maut setelah terlanggar belakang lori yang diparkir di tepi Jalan Gambir 34, Bandar Baru Bukit Gambir, di sini, pada petang Jumaat.
A
A
A

TANGKAK - "Ingatkan kereta berlanggar, rupanya kemalangan maut."

Itu reaksi seorang saksi kemalangan yang melibatkan dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang maut setelah terlanggar belakang lori yang diparkir di tepi Jalan Gambir 34, Bandar Baru Bukit Gambir, di sini, pada petang Jumaat.

Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zana, 56, ketika kejadian dia berada di rumah bersama anaknya.

Bagaimanapun katanya, setelah mengetahui kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan rumahnya itu, dia dan anak perempuannya yang berusia 23 tahun bergegas ke lokasi bagi melihat kejadian yang berlaku selain cuba menawarkan pertolongan.

"Ya, saya nampak kejadian tu dan bila saya sangka kereta langgar tepi jalan, tapi bila keluar, saya nampak motosikal dan dua orang remaja lelaki terbaring; seorang macam masih bernyawa, tapi nyawa-nyawa ikan dan seorang lagi cuba bangun tapi tak larat.

“Saya menggigil tengok darah sangat banyak, terus panggil jiran, tapi waktu itu tak ada orang sebab waktu solat Jumaat, semua ke masjid. Bagaimanapun, anak perempuan saya yang berusia 23 tahun sempat membantu mangsa kemalangan dengan mengajar mereka mengucap.

"Mujurlah, tak lama kemudian ada dua penunggang motosikal melalui kawasan itu dan saya pun meminta tolong.... alhamdulillah, saya sempat telefon ambulans," katanya.

Pegawai perubatan sedang memeriksa keadaan mangsa kemalangan - foto BBP Bukit Gambir
Pegawai perubatan sedang memeriksa keadaan mangsa kemalangan - foto BBP Bukit Gambir

Tambah Zana, salah seorang mangsa didapati mempunyai dokumen pengenalan diri manakala seorang lagi tidak membawa sebarang dokumen pengenalan, menyebabkan mereka tidak dapat dikenal pasti serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia juga cuba bertanyakan orang ramai yang lalu lalang di situ, namun, tiada siapa kenal kerana mungkin bukan budak kampung sini atau mungkin dari taman perumahan yang lain.

"Kejadian ini merupakan kemalangan serius pertama yang berlaku di situ, lagi pun, laluan di sini sememangnya sering dilalui motosikal dan sebuah lori juga sering diparkir berhampiran jalan berkenaan.

“Saya pun selalu nampak budak-budak muda lalu situ, tapi tak sangka pula akan jadi macam ni. Memang kawasan tu pun sunyi waktu solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, ketika mengesahkan kejadian berkata, kemalangan berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 petang, Jumaat.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang dua sepupu, Muhammad Farhan Danial Mohd Fauzi, 17, dan Muhammad Afiq Rusyaidi Abdul Rashid, 18, itu dalam perjalanan pulang ke rumah dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori jenis Nissan MK36 berwarna hijau yang diletakkan di kiri bahu jalan.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau merbahaya," katanya dalam satu kenyataan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Azmi bin Ibrahim di talian 011-12445836.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!