Peluang baik skuad compound di LA28

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyambut baik penyenaraian acara memanah compound berpasukan campuran dalam senarai pingat dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Khamis menyenaraikan acara tersebut sebagai tambahan kepada recurve pada temasya terbesar dunia itu.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, penambahan acara itu memberikan peluang tambahan kepada Malaysia untuk memburu pingat di temasya sukan terulung dunia itu.
Kata beliau, ia berdasarkan kepada rekod pencapaian yang pernah dihasilkan oleh pemanah-pemanah compound negara sejak kebelakangan ini.

“Malaysia sentiasa berjaya mempunyai pemanah yang layak secara merit untuk acara recurve bagi beberapa temasya Sukan Olimpik sebelum ini, termasuk tiga pemanah ketika Sukan Olimpik 2024 di Paris tahun lalu,” katanya.
Sebagai rekod, bagi acara compound, antara pemanah negara yang pernah mencipta pencapaian membanggakan ialah Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh.
Mereka memenangi pingat emas acara berpasukan campuran pada Piala Asia di Bangkok Februari lalu.
Pemanah compound negara paling konsisten ialah atlet berpengalaman, Mohd Juwaidi Mazuki,yang pernah menduduki ranking ke-20 dunia selain memenangi pingat gangsa Kejohanan Memanah Compound Dunia di Antalya, Turkiye pada 2023.
Jefri menjelaskan bahawa MSN ketika ini memiliki lapan pemanah compound dalam Program Podium.
“Mereka terdiri daripada empat pemanah lelaki dan empat pemanah wanita, sejak tahun 2018 yang dipersiapkan untuk menghadapi beberapa kejohanan utama peringkat dunia,” katanya.
Pencapaian lain yang pernah dihasilkan pemanah compound negara ialah memenangi pingat emas acara berpasukan lelaki pada Piala Asia tahun 2023 dan 2024 dan pingat gangsa berpasukan lelaki pada Sukan Asia 2018 dan 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
