X

Kindly register in order to view this article
!

PKR Cabang Sungai Besar nafi ahli keluar parti

Azhar
A
A

SABAK BERNAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sungai Besar menolak dakwaan kononnya seramai 500 ahli mereka bertindak meninggalkan parti itu Jumaat lalu.

Ketuanya, Azhar Achil berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang nama mereka yang keluar PKR.

Menurutnya, dakwaan itu dianggap tidak berasas dan sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam parti berkenaan.

"Berdasarkan pemerhatian pada gambar mereka yang keluar PKR pada sidang media terbabit, hanya seramai 31 yang hadir dan sebahagian mereka bukannya semua ahli parti.

"Kami mengesahkan tiada ahli PKR Cabang Sungai Besar meninggalkan parti sehingga hari ini," katanya.

Azhar berkata, seramai 6,243 ahli PKR berdaftar di Cabang Sungai Besar dan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Sejak saya memenangi jawatan ini, kita berjaya menubuhkan lima ranting di cabang ini yang sebelum ini tiada satu pun ranting di Cabang Sungai Besar," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 500 ahli PKR Cabang Sungai Besar keluar parti berikutan kecewa dengan keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pemecatan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Mohamad Fauzi Ahmad berkata, ahli parti yang selama ini memperjuangkan Anwar dibebaskan dari penjara kecewa dengan beberapa keputusan pemecatan yang dibuat Presiden PKR itu terhadap ahli dan kepimpinan parti berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi 850 ahli keluar PKR


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!