Remaja Palestin dibebas dari penjara Israel alami gangguan mental

BAITULMAQDIS - Ahmad Manasra, pemuda Palestin yang dipenjarakan sejak berusia 13 tahun kerana didakwa terbabit dalam serangan tikaman akhirnya dibebaskan selepas sembilan tahun setengah menjalani hukuman penjara, lapor Al-Jazeera
Peguamnya, Khaled Zabarqa berkata, Manasra yang kini berusia 23 tahun, dibebaskan pada Khamis selepas menyempurnakan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh pihak berkuasa Israel.
Dia ditahan pada 2015 kerana berada bersama sepupunya, Hassan Manasra ketika kejadian tikaman terhadap dua penduduk Israel berhampiran penempatan haram Pisgat Ze’ev di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Hassan, 15, ditembak mati oleh seorang lelaki Israel manakala Ahmad diserang secara ganas oleh sekumpulan penduduk Israel dan dirempuh oleh sebuah kenderaan hingga menyebabkan kecederaan parah termasuk retak tengkorak dan pendarahan dalaman.
Rakaman video insiden tersebut yang menunjukkan Ahmad terbaring di jalan raya sambil diejek orang ramai tular dan mencetuskan kemarahan global.
Meskipun tidak melakukan tikaman, Ahmad tetap didakwa atas cubaan membunuh, sesuatu yang diakui sendiri oleh mahkamah.
Ahmad pernah diletakkan dalam sel pengasingan selama 23 jam sehari sejak November 2021 selepas bergaduh dengan tahanan lain.
Pihak keluarga memaklumkan dia mula menunjukkan gejala mental termasuk paranoia dan delusi hingga cuba mencederakan diri sendiri.
Beberapa kali dirinya dipindahkan ke wad psikiatri dan diberikan suntikan untuk menstabilkan keadaan.
Seorang doktor dari pertubuhan Doctors Without Borders (MSF) yang dibenarkan memeriksanya pada Disember 2021 mengesahkan Ahmad menghidap skizofrenia dan memberi amaran bahawa penahanan berterusan boleh menyebabkan kerosakan mental kekal.
Pelbagai pihak termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah menggesa pembebasannya segera, namun mahkamah Israel beberapa kali menolak rayuan atas alasan Ahmad didakwa di bawah jenayah ‘keganasan’, yang tidak melayakkan dirinya untuk parol walaupun ketika itu masih kanak-kanak dan sakit mental.
Menurut Zabarqa, Ahmad dibebaskan dari penjara Nafha tanpa sebarang notis dan ditinggalkan bersendirian di kawasan terpencil di wilayah Beersheba, Negev.
“Orang awam yang kebetulan lalu di situ menemui Ahmad dan menghubungi keluarganya,” katanya sambil mengesahkan bahawa Ahmad kini telah kembali bersama ibu bapanya.
“Kami tahu keadaannya sangat teruk ketika di penjara. Sekarang kami sedang menilai tahap kesihatan dirinya,” katanya lagi.
Pengarah serantau Amnesty International, Heba Morayef menyambut baik pembebasan Ahmad, menyifatkannya sebagai “kelegaan besar buat beliau dan keluarganya”.
“Namun, tiada apa dapat memadamkan penderitaan, trauma dan ketidakadilan yang dialaminya sepanjang berada dalam tahanan,” katanya dalam kenyataan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
