Jangka tinggalkan pentadbiran negeri, Exco Perak menangis

Hasnul Zulkarnain tidak dapat menahan perasaan ketika sidang media di pejabatnya hari ini.
Hasnul Zulkarnain tidak dapat menahan perasaan ketika sidang media di pejabatnya hari ini.
A
A
A

IPOH - Exco Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim tidak dapat menahan sebak ketika mengenangkan kemungkinan terpaksa meninggalkan tugas sebagai Exco kerajaan negeri.

Dalam sidang media di pejabatnya, beliau meluahkan perasaan masih belum puas menjalankan tugas sebagai Exco selepas dilantik ke jawatan itu pada 19 Mei 2018.

Biarpun belum menerima sebarang arahan rasmi daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai kedudukan Exco kerajaan negeri, beliau membayangkan kemungkinan terpaksa meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan susulan perubahan pentadbiran kerajaan Pusat.

“Saya masih belum puas untuk berkhidmat kepada rakyat Perak. Saya Exco penerangan dan kerap berjumpa masyarakat.

“Antara yang paling menyentuh hati saya ialah Program Santai Bersama Rakyat. Dari situlah saya dapat lihat apa rakyat Perak mahu selama ini,” katanya yang beberapa kali menitiskan air mata ketika sidang media di pejabat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Muafakat Nasional mahu Saarani jadi MB Perak

Hasnul Zulkarnain berkata, beliau sudah mempersiapkan diri untuk menerima sebarang keadaan mengenai kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri.

Katanya, perasaan sedih itu hadir ketika menurunkan gambar sewaktu menerima watikah sebagai Exco daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Artikel Berkaitan:

Beliau sebelum itu turut membuat video langsung di Facebook dengan memberikan ucapan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan pejabatnya yang banyak membantu selama ini.

Hasnul Zulkarnain dalam masa sama turut merakam penghargaan kepada rakan-rakan media yang selama ini membantu membuat liputan program-program kerajaan negeri.