137 mangsa terjejas banjir tiga daerah di Selangor

Sebuah rumah dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak malam Khamis.
Sebuah rumah dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak malam Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Hujan lebat berterusan sejak malam pada Khamis menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Selangor dilanda banjir kilat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sekurang-kurangnya 137 mangsa terjejas setakat jam 8 pagi Jumaat.

Menurut beliau, kejadian banjir berlaku di tiga zon utama melibatkan daerah Shah Alam, Petaling dan Klang.

"Kampung Padang Jawa menjadi lokasi terawal dinaiki air dengan kedalaman mencecah 0.6 meter.

"Air dilaporkan menaik secara perlahan dan melibatkan tiga penduduk serta 20 unit rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir bermula pada malam Khamis.
Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir bermula pada malam Khamis.

Bagaimanapun Ahmad Mukhlis memberitahu, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini di zon terbabit.

Beliau memaklumkan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan Petaling Jaya dikerahkan ke Kampung Tengah selepas kawasan itu dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

"Seramai enam penduduk membabitkan 20 buah rumah terlibat dan mereka ditempatkan di PPS Masjid Putra Height," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Mukhlis memberitahu, di Kampung Seri Aman, Puchong, situasi lebih kritikal apabila seramai 120 penduduk terjejas dan 30 rumah dinaiki air.

"Bagaimanapun paras air dilaporkan menurun dan pembukaan PPS masih belum diputuskan," kata beliau.

Selain itu, jelas beliau, di zon Klang pula membabitkan Taman Seri Jaya, Klang dinaiki dengan kedalaman 0.6 meter dan keadaan air dilaporkan statik.

"Lapan mangsa dari 10 buah rumah dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaaan (SK) Binjai.

"JBPM Selangor terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengingatkan orang ramai agar berwaspada terutamanya yang tinggal di kawasan rendah serta mudah dinaiki air.

Tangkap layar video yang dimuat naik pengguna di Facebook yang memaparkan banjir kilat mula melanda sejak awal pagi tadi.
Tangkap layar video yang dimuat naik pengguna di Facebook yang memaparkan banjir kilat mula melanda sejak awal pagi tadi.

“Sebarang arahan perpindahan hendaklah dipatuhi segera demi keselamatan,” tambah beliau.

Sementara itu, menurut pengguna Facebook, Kamsani Kamarudin, sebahagian penduduk di sekitar Puchong mula mengalihkan barangan dan kenderaan ke tempat yang selamat susulan banjir kilat.

“Air Sungai Klang belum (ada) tanda mahu surut. Lombong Sri Aman sebagai tadahan air pun sudah makin cepat naik, ada sebahagian kampung mula banjir dan mereka alihkan barang dengan kenderaan ke tempat selamat.

“Sedihnya nasib Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru yang baru menjadi mangsa kebakaran, kini mangsa banjir pula,” katanya.

Dalam pada itu, jalan utama termasuk lebuh raya menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan dinaiki air pada pagi tadi sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas serta beberapa kenderaan turut terkandas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!