Muafakat Nasional calon Saarani jadi MB Perak

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Rakyat Perak kini terus berteka-teki mengenai status Menteri Besar Perak selepas perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan sejurus Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan semalam.

Walaupun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Perak, namun keadaan itu masih belum dapat dipastikan memandangkan tiada kenyataan rasmi di antara Muafakat Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai penggabungan mereka di negeri itu.

Bagaimana pun, sumber dalaman Muafakat Nasional mengesahkan bahawa mereka mempunyai calon sendiri dengan menamakan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Malah difahamkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Pas sudah pun menandatangani akuan bersumpah sebagai persetujuan melantik Saarani ke jawatan itu.

Bukan itu sahaja, ketika mesyuarat bersama Badan Perhubungan UMNO Perak pada 24 Februari lalu, semua ketua UMNO bahagian di negeri ini turut menyatakan persetujuan agar ADUN Kota Tampan itu dilantik menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, 28 ADUN daripada blok Muafakat Nasional masih memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua wakil rakyat Bersatu iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ahmad Faizal sendiri untuk membentuk kerajaan.

Persoalannya adakah Ahmad Faizal akan menyerahkan jawatan tersebut kepada blok Muafakat Nasional setelah 22 bulan menjadi Menteri Besar Pakatan Harapan atau kekal bersama rakan sekutunya sebelum ini?

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dilihat mempunyai peluang untuk ke pusat menyertai Kabinet Muhyiddin atas pengorbanannya meninggalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semua sedia maklum hubungan akrab Ahmad Faizal dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun beliau memilih untuk bersama-sama Muhyiddin.

Perkara itu sudah pasti menjadi pertimbangan untuk beliau dipilih sebagai Menteri mahupun Timbalan Menteri.

Di Perak pula, bukan lagi rahsia persengketaan ADUN Chenderiang itu dengan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain terutama PKR dalam isu pelantikan ahli majlis dan DAP dalam isu hak milik kekal kampung baharu.

Jawatan Menteri Besar Perak itu mungkin boleh menjadi 'senjata' buat Ahmad Faizal bagi mengelak daripada terus menerima pelbagai desakan daripada rakan-rakan di dalam PH.

Namun, jika Ahmad Faizal memilih untuk bersama-sama Muafakat Nasional membentuk kerajaan di Perak, bagaimana beliau akan berhadapan dengan bekas sekutunya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti?

Pertimbangan-pertimbangan ini perlu difikirkan oleh Ahmad Faizal dalam menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak.

Menerusi kenyataan Pemangku Ketua Penerangan Puteri UMNO Perak, Irmalini Amir Hamzah, Saarani dilihat calon paling sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak kerana pengalamannya dalam pentadbiran dua Menteri Besar terdahulu.

Walau apapun telahannya, sebarang keputusan bergantung kepada kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menentukan siapa Menteri Besar Perak yang layak menerajui negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Doakan saya kekal: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal perlu buktikan dapat sokongan majoriti: Saarani