'Saya dah anggap nenek macam keluarga sendiri'

JOHOR BAHRU - Perbezaan agama dan bangsa bukan penghalang untuk seorang wanita kaum India berbuat baik kepada seorang warga emas berbangsa Melayu yang tinggal bersendirian di kediamannya di Kluang, Johor.
Mahaletchumi Packiam Nathan, 47, atau lebih mesra dipanggil Chinnakka berkata, dia mengenali nenek itu sejak tahun 2021 dan terus menjaga hubungan mesra mereka sehingga hari ini.
“Nenek itu saya dah anggap macam keluarga sendiri. Kalau ada masa, saya akan ziarah. Dalam sebulan tu, biasanya dua tiga kali saya pergi.
“Saya bukanlah jiran nenek dan rumah saya terletak kira-kira 15 kilometer dari rumah nenek,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Chinnakka, dia tidak kisah tentang jarak atau penat kerana rasa kasih dan tanggungjawab membuatkan dia rela berulang-alik ke rumah warga emas itu.
Ujarnya, sempena Aidilfitri tahun ini, dia sekali lagi menghadiahkan baju raya untuk nenek kerana anak kepada nenek itu sudah lama tidak ditemui.
“Tahun ni masa saya pergi bagi baju raya, anak dia tak ada. Tak tahu ke mana. Tapi bukan kali pertama saya bagi baju raya. Tahun lepas pun saya pernah belikan.
“Saya tidak sangka video yang saya muat naik ketika ziarah nenek jadi perhatian ramai. Saya sangat gembira kerana ada pihak yang sudi tampil bantu nenek," katanya.
Jelasnya lagi, dia ikhlas lakukannya dan sangat menyayangi nenek berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

