Warga emas dakwa dipukul tuntut keadilan

Mohd Khairi kini terpaksa menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan.
Mohd Khairi kini terpaksa menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga emas menuntut keadilan dan pembelaan sewajarnya buat dirinya selepas mendakwa dipukul seorang individu dalam kejadian di Temerloh, Pahang kira-kira tiga bulan lepas.

Mohd Khairi Abdul Rahman, 69, mendakwa, dalam insiden 14 Januari lalu, seorang lelaki bertindak memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, muka, dan telinga.

Menurutnya, akibat kejadian tersebut juga, dia mengalami serangan jantung dan perlu menerima rawatan di hospital.

"Kejadian berlaku waktu saya teman isteri untuk bincang isu tanah pusaka keluarga dan perbincangan pada awalnya berjalan dengan baik.

"Selepas perbincangan, kakak ipar saya memanggil cucu angkatnya sebelum lelaki itu marah-marah dan memukul saya hingga menyebabkan kecederaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Kaki Mohd Khairi mengalami kecederaan selepas dipukul.
Kaki Mohd Khairi mengalami kecederaan selepas dipukul.

Tambah Mohd Khairi, insiden tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal yang menyakitkan, malah turut menjejaskan kesihatan mental dan emosinya.

"Akibat kejadian, saya kini tidak mampu melakukan aktiviti harian seperti biasa termasuklah solat dalam keadaan normal dan memotong rumput apabila tidak boleh berjalan seperti dahulu dan perlu menggunakan tongkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian tersebut, Mohd Khairi membuat dua laporan polis, satu di Temerloh pada hari kejadian, manakala satu laporan lagi pada 5 Februari lalu di Shah Alam.

Bagaimanapun, pesara swasta terbabit menzahirkan rasa kecewa kerana mendakwa sehingga kini masih tiada tangkapan dilakukan terhadap pelaku.

Mohd Khairi kini bergantung kepada bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400 dan tidak dapat bekerja seperti dahulu.

"Saya sudah tidak tahu hendak buat apa dan ini sahaja pilihan yang ada. Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segera," katanya.

Pada masa sama, dia turut berharap mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dan peguam sudi membantu dan memperjuangkan nasib yang menimpanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!