Ratu Naga dibebaskan dengan jaminan polis

Ratu Naga
Ratu Naga
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang aktivis politik serta penyedia kandungan media sosial, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, wanita tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video tular melibatkan sekumpulan kanak-kanak menyanyikan lagu kebesaran negeri Perak.

Menurutnya, penahanan individu berusia dalam lingkungan 40-an itu dibuat kira-kira jam 12 tengah hari, Khamis, di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.

“Penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hilir Perak bagi membantu siasatan kes video yang tular di media sosial.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat untuk arahan dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Bakri menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan ketegangan serta kontroversi.

“Penyebaran berita palsu atau tidak tepat boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, setiap individu perlu menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi demi memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang aktivis politik serta penyedia kandungan media sosial, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa pelajar sebuah sekolah Cina di Perak menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku dalam bahasa Mandarin.

Peguamnya, Zaid Malek berkata, anak guamnya itu ditahan polis kira-kira jam 12 tengah hari di Petaling Jaya pada Khamis

------

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!