UMNO Kelantan tidak kejar jawatan dalam kerajaan

Ahmad Jazlan (tengah) bersama sebahagian barisan tertinggi UMNO Kelantan dan ketua-ketua bahagian yang menyertai sidang media di sini hari ini.
Ahmad Jazlan (tengah) bersama sebahagian barisan tertinggi UMNO Kelantan dan ketua-ketua bahagian yang menyertai sidang media di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan terserah kepada kepimpinan tertinggi memutuskannya menerusi Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO juga mempunyai pendirian bahawa jawatan bukan menjadi penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, tujuh kerusi UMNO di peringkat Dewan Undangan Negeri cukup untuk mereka menyokong pentadbiran Kelantan sekali gus membuktikan Muafakat Nasional satu pilihan tepat.

“Kita mahu melihat taraf hidup rakyat Kelantan berubah walaupun bukan dalam kadar segera.

“Bayangkanlah betapa nikmat limpahan akan dapat dinikmati oleh rakyat Kelantan apabila kerajaan Kelantan dan kerajaan Pusat adalah sama.

“Sama saja kita sudah menjadi kerajaan, walaupun kita tidak berjawatan besar di dalam kerajaan negeri tetapi mempunyai akses terus kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob),” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Tertutup Empat Peringkat di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di sini.

Ahli Parlimen Machang itu juga berharap ahli di peringkat akar umbi tidak bercakap mengenai kedudukan jawatan UMNO di dalam kerajaan negeri kerana perjuangan mereka kini bertujuan membela rakyat dan bukan demi habuan.

Katanya juga, UMNO akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Kelantan yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan membincangkan peranan yang boleh dimainkan oleh UMNO dalam memperkasakan urus tadbir dan khidmat kepada rakyat Kelantan,” katanya.