Wasiyyah tampil logo baharu selepas 20 tahun, hasrat teroka pasaran antarabangsa

Azman (tengah) bergambar bersama Rosyam Nor (dua dari kiri) ketika majlis peluncuran logo baharu Wasiyyah pada Khamis.
Azman (tengah) bergambar bersama Rosyam Nor (dua dari kiri) ketika majlis peluncuran logo baharu Wasiyyah pada Khamis.
A
A
A

WASIYYAH Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah dengan nilai aset dalam pewarisan melebihi RM40 bilion dan kepakaran dalam penyediaan dan pelaksanaan instrumen perancangan harta Islam meluncurkan logo baharu sempena penjenamaan semula organisasinya.

Ditubuhkan pada tahun 2004, Wasiyyah menjangkakan penjenamaan semula akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat amanah peneraju di Malaysia bagi segmen perancangan harta secara syariah.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, penjenamaan semula turut selaras dengan penstrukturan korporat yang telah selesai dilalui kumpulan syarikat Wasiyyah Holdings Berhad yang merupakan syarikat pegangan pelaburan kepada Wasiyyah.

Azman Mokhtar (tengah) meletakkan tangan ketika gimik peluncuran logo baharu Wasiyyah sambil diperhatikan Ariffin Sabirin (kanan) dan Ahmad Tajuddin Abdul Rahman.
Azman Mokhtar (tengah) meletakkan tangan ketika gimik peluncuran logo baharu Wasiyyah sambil diperhatikan Ariffin Sabirin (kanan) dan Ahmad Tajuddin Abdul Rahman.

"Kami telah beroperasi lebih 20 tahun sejak 2004 di Malaysia dengan pengalaman penyelesaian kes pusaka bernilai melebihi RM1 bilion dan lebih dari 100,000 pelanggan telah menggunakan perkhidmatan kami.

"Trek rekod perkhidmatan kami telah terbukti dan kami merasakan sudah sampai masa untuk imej yang lebih progresif dan selari dengan reputasi kami dipaparkan oleh syarikat," katanya.

Terdahulu, majlis peluncuran logo baharu Wasiyyah diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam dan dirasmikan oleh Pengerusi Malaysia International Islamic Finance Centre (MIFC), Tan Sri Datuk Wira Azman Mokhtar pada Khamis.

Logo baharu tersebut memaparkan perkataan Arab 'Wasiyyah' yang bermaksud kesinambungan dan ia diolah secara artistik bagi menggambarkan imej ibu bapa memegang anak-anaknya sebagai simbolik sifat ibu bapa yang sentiasa melindungi anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, majlis yang menandakan titik penting dalam sejarah transformasi Wasiyyah turut dihadiri barisan pihak pengurusan tertinggi termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah Shoppe Berhad, Datuk Ahmad Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, tambah Ariffin, objektif penjenamaan semula juga merupakan salah satu daripada strategi jangka panjang Kumpulan Wasiyyah untuk meneroka pasaran antarabangsa terutamanya negara Islam.

Sebagai permulaan, Wasiyyah yang dikenali sebagai organisasi pertama di dunia memperkenalkan aplikasi mudah alih akad hibah tanpa kertas, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) menyasarkan untuk memasuki pasaran Oman selewat-lewatnya pada suku pertama 2026 sekali gus menjadikan negara itu destinasi pertama syarikat di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Kami memperuntukkan hampir RM1 juta bersamaan 80,000 rial Oman bagi tujuan penubuhan pejabat, pengambilan pekerja tempatan serta pembangunan sistem di negara berkenaan.

“Oman menjadi pilihan utama pada ketika ini kerana negara itu mengamalkan piawaian kewangan Islam yang paling ketat di dunia menerusi pematuhan kepada standard Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).

“Ditambah pula, kos sara hidup di negara tersebut tidak terlalu tinggi dan mata wang yang agak stabil (tidak terlalu turun naik),” katanya.

Tambah beliau, Wasiyyah turut mengintai peluang pasaran di negara lain termasuk negara ASEAN dan Negara Teluk.

Pada majlis sama, Wasiyyah turut mengumumkan pelantikan aktor terkenal negara dan usahawan berjaya, Datuk Rosyam Nor selaku Duta Rasmi Wasiyyah.

Pelantikan tersebut bertujuan memperkukuh imej korporat syarikat dan menyampaikan mesej perancangan harta Islam kepada audien lebih luas selain memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan kesedaran tentang kepentingan perancangan harta yang efektif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!