[VIDEO] Isteri Pakcik Petai dapat 'mata baharu'
SEREMBAN - Selama dua tahun terpaksa melihat hanya menggunakan sebelah mata, isteri kepada 'Pakcik Petai' mendapat sinar baharu apabila selesai menjalani pembedahan katarak mata secara percuma di Hospital Columbia Asia di sini pada Khamis.
Astiah Yaakob, 64, selamat menjalani pembedahan yang dikendalikan Pakar Perunding Oftalmologi, Retina Perubatan dan Uveitis, Dr K Sangeeta pada jam 10 pagi.
Dia yang ditemui pemberita selepas selesai pembedahan meluahkan rasa syukur kerana semuanya berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu.

"Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menolong saya.
"Sebelum ini, mata sebelah tu terang tapi sebelah lagi tak boleh memandang lama-lama berair, boleh nampak tapi kabur. Itulah sebabnya nak buat pembedahan," katanya.
Sementara itu, Pakcik Petai atau nama sebenarnya, Mohd Noor Saad, 67, turut mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital yang menaja pembedahan tersebut.
Katanya, dia berharap selepas ini isterinya dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih gembira dengan adanya 'mata baharu'.
"Mungkin kalau duduk di rumah dia (isteri) boleh menyapu sampah, masak nasi maksudnya rutin harian dia jadi lebih mudah dan teratur," katanya.

Sementara itu, Sangeeta yang merawat mata Astiah memberitahu, katarak mata warga emas berkenaan berada pada tahap kritikal.
"Diharapkan keadaan mata Astiah cepat pulih supaya penglihatannya terang semula dan boleh boleh menjalani kehidupan lebih baik," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Hospital Columbia Asia Seremban, Alice Chong berkata, pihaknya gembira kerana dapat membantu isteri warga emas berkenaan.
Katanya, bantuan seumpama itu bukanlah kali pertama dilakukan pihaknya dan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial bagi membantu mereka memerlukan.
Sebelum ini tular video Mohd Noor bertindak membuang kesemua petai di jalan raya sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan berniaga menggunakan motosikal.
Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah pasar raya di daerah ini.
Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai dengan majoriti meluahkan rasa simpati terhadap lelaki itu.
Warga emas berkenaan memberitahu dia berniaga kerana mahu mengumpul duit untuk pembedahan katarak mata isterinya
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

