Bunuh bapa sendiri kerana terjerat hutang kahwin

SURABAYA - Gara-gara berhutang, seorang lelaki tergamak membunuh bapanya sendiri.
Pelaku dikenali sebagai AUO, 22, dari Pabean Cantikan, Surabaya di Indonesia itu dikatakan terjerat berjumlah 25 juta rupiah (RM7,800) yang masih gagal dilangsaikan kepada vendor untuk majlis perkahwinannya.
Dia juga cuba memperdaya pihak berkuasa dan ahli keluarganya kononnya kematian bapanya berpunca daripada kemalangan.
Perbuatannya bagaimanapun terbongkar selepas mayat MS, 65, ditemui di tepi Jalan Raya Darmo Permai II, Sukomanunggal pada akhir minggu lalu.
Hasil pemeriksaan polis mendapati kecederaan pada belakang kepala mangsa disebabkan oleh pukulan objek tumpul.
Pada hari sama, pasukan Jatanras Polrestabes Surabaya memberkas AUO.
AUO akhirnya mengakui dia membunuh bapanya setelah mereka bertengkar kerana pelaku menjual Toyota Fortuner milik mangsa demi untuk menyelesaikan hutangnya.
"Bapanya mendesak AUO mendapatkan semula kenderaan itu. Namun, ia berakhir tragedi kerana AUO tidak dapat mengawal kemarahannya setelah didesak berulang kali. Motif pembunuhan itu mungkin kerana sakit hati," kata jurucakap polis, Aris Purwanto.
Menurutnya, AUO turut mereka cerita tentang kemalangan yang menimpa bapanya, namun hasil autopsi membuktikan mangsa hilang nyawa di tangan anaknya sendiri. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

