Tune Protect, Ticket2U perkenal Ticket Refund Insurance

Kerjasama Tune Protect dengan Ticket2U membantu melindungi keselamatan pelanggan.
Kerjasama Tune Protect dengan Ticket2U membantu melindungi keselamatan pelanggan.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat insurans digital terkemuka, Tune Protect Malaysia (Tune Protect), menjalinkan bekerjasama dengan platform tiket utama Malaysia, Ticket2U Sdn Bhd bagi memperkenalkan Ticket Refund Insurance untuk sebarang acara di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta berkata, inisiatif itu penting untuk mewujudkan standard baharu dalam perlindungan acara dengan menyediakan keselamatan kewangan lebih baik.

Menurutnya, pelan menyeluruh itu meliputi tiket pelbagai acara, termasuk persidangan, maraton, larian, konsert, festival dan kejohanan sukan.

“Kami ingin memastikan pemegang tiket menerima bayaran balik penuh jika keadaan tidak dijangka menghalang mereka daripada menghadiri acara tersebut.

“Inisiatif ini mengukuhkan usaha Tune Protect untuk menyampaikan penyelesaian yang mengutamakan pelanggan dan meningkatkan pengalaman pengguna.

“Ticket Refund Insurance melindungi peserta daripada gangguan seperti kecemasan perubatan, kematian akibat kemalangan, kecemasan rumah seperti kebakaran atau kecurian, bencana alam dan pengangguran secara tiba-tiba selain memastikan pembeli tiket tidak terbeban dari segi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, menurut Jubin, perlindungan itu turut meliputi kemalangan jalan raya dan kerosakan kenderaan dalam perjalanan ke acara tersebut.

Tambah beliau, pelancaran Ticket Refund Insurance merupakan transformasi kepada pengunjung acara untuk memberi keyakinan bagi menempah tiket tanpa rasa takut sehingga mengganggu rancangan mereka.

Dalam pada itu, jelas Jubin, bagi penggemar sukan, Insurans Kemalangan Peribadi turut tersedia sebagai tambahan pilihan selain memberikan perlindungan kewangan untuk kecederaan akibat kemalangan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kehadiran peserta acara yang semakin meningkat, Tune Protect akan memastikan bahawa pelanggan dapat menikmati sepenuhnya acara kegemaran mereka tanpa tekanan kerana mempunyai jaringan keselamatan yang boleh dipercayai menerusi pelan perlindungan insurans mudah, lancar dan mampu dicapai orang ramai.

“Ticket2U dan Tune Protect menetapkan piawaian industri baharu bagi perlindungan pengguna terhadap kejadian yang tidak dijangka sambil meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan dengan lebih yakin dan mudah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ticket2U, YC Chia berkata, inisiatif tersebut memberi perlindungan kepada pembeli tiket selain memberikan jaminan keselamatan yang lebih besar.

Menurutnya, dengan mengurangkan risiko kewangan dan menjadikan pembelian tiket lebih selamat akan meningkatkan keyakinan dalam kehadiran acara serta menyokong pengalaman acara lebih dinamik.

“Di Ticket2U, kami memberikan tumpuan terhadap peningkatan pengalaman tiket, dan Ticket Refund Insurance yang menandakan langkah penting ke arah menetapkan piawaian industri baharu.

“Perlindungan ini memberi pembeli tiket jaminan yang lebih besar, mengetahui mereka dilindungi jika perkara yang tidak dijangka berlaku, di samping mengukuhkan kepercayaan antara penganjur acara dengan peserta,” katanya.

Untuk semua pelanggan yang membeli tiket acara, insurans tersebut tersedia sebanyak lima peratus daripada harga tiket.

Pelanggan juga boleh membeli insurans tersebut dengan memilih tiket acara di Ticket2U, kemudian pilih Ticket Refund Insurance semasa daftar keluar dan pembelian yang lengkap akan terus diaktifkan secara automatik.

Dalam pada itu, bagi proses tuntutan pula, pelanggan perlu menyerahkan tuntutan terus kepada Tune Protect dengan dokumen yang diperlukan.

Tuntutan akan diproses dan bayaran balik akan dilaksanakan untuk yang layak dikeluarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!