CUCKOO Malaysia jadual semula penyenaraian IPO

KUALA LUMPUR - CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), Pencipta Kediaman Sihat yang komited ke arah memupuk gaya hidup yang lebih sihat, mengumumkan bahawa syarikat akan menjadualkan semula tarikh bagi Penawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) berikutan ketidakstabilan pasaran global semasa.
Penyenaraian CUCKOO Malaysia yang pada asalnya dijadualkan pada 30 April 2025, kini dijangka selesai pada 24 Jun 2025.
Keputusan ini diambil dengan penuh teliti hasil penilaian menyeluruh oleh pihak pengurusan CUCKOO Malaysia, dalam usaha memastikan kejayaan dan kemampanan kemasukannya ke dalam pasaran awam.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon (KC Hoe) berkata, memandangkan cabaran yang sedang dialami oleh pasaran dalam jangka masa terdekat, syarikat percaya bahawa ini adalah satu keputusan yang wajar.
“Kami kekal yakin dengan prospek jangka panjang syarikat dan terus komited untuk mengekalkan momentum Syarikat dalam semua segmen perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Susulan perubahan jadual ini, CUCKOO Malaysia akan mengeluarkan prospektus tambahan dan membuka tempoh penarikan balik permohonan langganan pelabur (Penarikan Balik) bagi para pelabur yang telah membuat permohonan IPO tetapi berhasrat untuk menarik balik permohonan mereka.
Prospektus tambahan dan butiran lanjut mengenai proses Penarikan Balik itu, termasuk tempoh dan kaedahnya, akan diumumkan dalam masa terdekat melalui laman sesawang Bursa Malaysia di https://www.bursamalaysia.com dan laman sesawang CUCKOO Malaysia di www.CUCKOO.com.my/Investor-Relations.
Permohonan untuk tawaran IPO masih dibuka dan kini akan ditutup pada 5 Jun 2025 dengan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia dijadualkan pada 24 Jun 2025.
Di sebalik langkah penjadualan semula ini, CUCKOO Malaysia tetap berpegang teguh kepada misinya untuk mencipta kediaman yang lebih sihat untuk semua, serta memupuk gaya hidup lebih sihat untuk pelanggannya sebagai Pencipta Kediaman Sihat.
Syarikat itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang taruh atas keyakinan dan sokongan berterusan ketika ia mengambil langkah terbaik memastikan kejayaan penyenaraian tersebut yang bakal mendorong cadangan nilai dan pertumbuhannya dalam jangka panjang.
Jadual Waktu Indikatif IPO Yang Telah Disemak
- ·Permohonan untuk Tawaran: Masih dibuka
- ·Penutupan Penarikan Balik: Akan diumumkan
- ·Penutupan Tawaran Runcit: 5.00pm, Khamis, 5 Jun 2025
- ·Penutupan Tawaran Institusi: Khamis, 5 Jun 2025
- ·Tarikh Penetapan Harga: Selasa, 10 Jun 2025
- ·Pengundian pemohonan untuk Saham Terbitan di bawah Tawaran Runcit: Jumaat, 13 Jun 2025
- ·Pengumpukan / pemindahan Saham IPO kepada pemohon yang berjaya: Jumaat, 20 Jun 2025
- ·Penyenaraian: Selasa, 24 Jun 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
