Sultan Sharafuddin: Suku abad, sebuah amanah

KETIKA Selangor mengalami perubahan landskap politik, ekonomi dan demografi, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terus menjadi lambang kesinambungan pemerintahan beraja yang berwibawa.
Sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-9 pada 22 November 2001, baginda menyaksikan negeri itu berubah menjadi pusat ekonomi terbesar negara dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM460.1 bilion pada 2025.
Perjalanan hampir suku abad itu turut merentasi pertukaran kerajaan negeri pada 2008, kemelut pelantikan Menteri Besar pada 2014, pandemik dan banjir besar, sekali gus menguji peranan institusi diraja.

Di sebalik kemajuan itu, jumlah penduduk negeri juga meningkat daripada sekitar empat juta kepada lebih 7.4 juta orang. Perubahan tersebut membawa tuntutan lebih besar terhadap kemudahan asas, perumahan dan peluang ekonomi.
Pada 2008, baginda membekukan pengurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada ahli politik, sambil mengingatkan mereka supaya mendahulukan tugas daripada anugerah.
Dalam pergolakan 2014, baginda memainkan peranan Perlembagaan sehingga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar baharu. Peristiwa itu memperlihatkan cabaran memelihara kedudukan institusi diraja tanpa mengambil alih persaingan politik kepartian.
Bagi Penyandang Kerusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan, institusi sultan mempunyai akar sejarah yang jauh melangkaui pemerintahan seseorang raja.
“Institusi sultan merupakan kesinambungan sistem pemerintahan di Alam Melayu sejak lebih satu alaf atau seribu tahun lalu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut beliau, kesinambungan itu bukan bermaksud negeri harus kekal tanpa perubahan, sebaliknya institusi diraja terus berperanan dalam kerangka Perlembagaan ketika urusan pentadbiran dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Beliau mengingatkan bahawa peranan Raja Berperlembagaan perlu difahami melalui bidang kuasa, bukan disamakan dengan kuasa mentadbir kerajaan negeri.

Awang Sariyan berkata, komitmen Sultan Sharafuddin terhadap agama, bahasa dan kebajikan rakyat memperlihatkan perhatian baginda terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
“Meskipun Sultan tidak campur tangan dalam tugas rutin eksekutif, segala titah baginda dapat ditafsirkan sebagai garis panduan untuk diterjemahkan oleh eksekutif,” katanya.
Pendirian baginda terhadap keharmonian masyarakat antara lain terserlah pada Februari 2025 apabila baginda tidak bersetuju dengan cadangan garis panduan untuk umat Islam menghadiri perayaan bukan Islam dan menekankan kepentingan toleransi dalam masyarakat majmuk.
Bagi Awang Sariyan, cabaran institusi raja turut terletak pada kefahaman sejarah dan sistem kenegaraan, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Baginda bukan sekadar bersemayam di singgahsana, bahkan menjadi penyampai suara batin seluruh rakyat dan telah melaksanakan amanah sebagai ketua negeri yang berwibawa lagi berkesan,” katanya.
Amanah diterjemah melalui tindakan
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin melihat Sultan Selangor sebagai kompas yang mengingatkan pentadbiran bahawa kemajuan tidak boleh dinilai melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata.
“Tuanku tidak pernah jemu mengingatkan jentera pentadbiran supaya bekerja dengan penuh integriti, menolak amalan rasuah serta salah guna kuasa, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi,” katanya dalam satu wawancara sebelum ini.
Menurut Ahmad Fadzli, di sebalik ekonomi Selangor yang kukuh, rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, kesesakan lalu lintas dan cabaran memiliki kediaman.
Justeru, kemajuan perlu diukur melalui peluang pekerjaan, gaji setimpal dan kemudahan awam.
Keprihatinan baginda terserlah apabila berkenan menaiki LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia pada 13 Julai lalu bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Selepas perjalanan kira-kira sejam merentasi 20 stesen, baginda berharap lima stesen yang tertangguh dapat disiapkan demi kemudahan rakyat.
Baginda turut menyantuni jemaah dan warga emas di masjid, selain menitikberatkan perlindungan hutan simpan, kawasan tadahan air serta kesiapsiagaan menghadapi bencana susulan gangguan bekalan air dan banjir besar Disember 2021.
“Ketika pandemik, baginda amat mengambil berat nasib golongan terjejas dan menitahkan supaya bantuan kerajaan disalurkan tanpa kerenah birokrasi,” katanya.
Keprihatinan terhadap rakyat turut terserlah apabila Sultan Sharafuddin menitahkan sambutan Jubli Perak pemerintahannya diadakan secara sederhana dan tidak membazir ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi.
“Lebih penting, penjimatan hasil pengurangan skala sambutan itu hendaklah disalurkan semula untuk membantu golongan yang memerlukan,” kata Ahmad Fadzli.

Antara pengisian sambutan di sembilan daerah Selangor ialah program kebajikan, pendidikan, sukan dan keagamaan, termasuk penerbangan khas Kembara Semenanjung yang meraikan 149 anak yatim daripada 29 rumah kebajikan pada 1 Oktober lalu.
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor berkenan menyantuni kanak-kanak itu sebelum mereka menaiki pesawat Batik Air, sebahagiannya buat kali pertama.
Tengku Permaisuri Norashikin yang mendampingi baginda sejak 31 Ogos 2016 turut aktif dalam kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.
Menurut Ahmad Fadzli, titah dan teguran baginda sentiasa mengingatkan pentadbiran supaya mengutamakan kesan dasar terhadap kehidupan rakyat, bukan sekadar angka dan laporan.
Sentiasa buat kerja rumah
Orang Besar Istana, Engku Panglima Setia Diraja, Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj Syed Anwar Jamalullail Alhaj berkata, baginda mahu mengetahui apa yang benar-benar dirasai rakyat, termasuk perkara yang bermain dalam fikiran mereka.
Sepanjang mendampingi baginda, beliau melihat seorang Sultan yang mahu mendengar bukan sekadar laporan pentadbiran, tetapi juga perasaan dan keresahan rakyat yang jarang tercatat dalam dokumen rasmi.
“Baginda sangat berterus terang. Jika baginda tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, baginda akan memberitahu kita secara langsung,” ujarnya.
“Baginda sentiasa membuat kerja rumah. Jadi, kalau kita menghadap tanpa persediaan yang cukup, kita akan ketahuan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Syed Haizam berkata, pengalaman panjang Sultan Sharafuddin sebagai Raja Muda sebelum menaiki takhta pada 2001 menjadikan nasihat Baginda amat berpengaruh kepada mereka yang mendampinginya.
Pengalaman panjang itu, jelasnya, turut membentuk cara baginda menegur, bukan semata-mata dengan mengeluarkan perintah, tetapi memberi nasihat berdasarkan penelitian serta harapan tinggi terhadap mereka yang memikul tanggungjawab.
Keprihatinan terhadap generasi muda turut terlihat dalam peranan baginda sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut beliau, baginda menggalakkan alumni menyumbangkan sebahagian kecil pendapatan kepada universiti, selepas meneliti amalan sedemikian di institusi pengajian tinggi luar negara.
“Baginda tidak bercakap kosong, kerana baginda telah meneliti amalan ini di universiti-universiti di seluruh dunia,” katanya.
Malah, satu tabiat peribadi baginda jarang diketahui umum, iaitu kegemaran membaca dan membeli buku untuk dikongsi manfaatnya dengan masyarakat.
“Yang lebih menyentuh hati, baginda sentiasa membeli dua naskhah bagi setiap buku, satu untuk baginda baca sendiri, dan satu lagi disumbangkan kepada Perpustakaan Raja Tun Uda,” kata Syed Haizam.
Beliau turut menggambarkan minat membaca itu dengan menyatakan: “Saya percaya baginda mungkin salah seorang pembeli buku terbesar di Amazon.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


