'Kami tinggal sehelai sepinggang selepas beraya'

Nurul Waddah bersama dua anaknya melihat keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Gelong Gajah, di Kuala Terengganu pada malam Selasa.
Nurul Waddah bersama dua anaknya melihat keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Gelong Gajah, di Kuala Terengganu pada malam Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Api marak dengan cepat, kami tak sempat selamatkan apa pun, hanya fikirkan keselamatan diri."

Demikian luahan Nurul Waddah Abdul Ghani, 32, apabila rumah dihuni bersama 11 lagi ahli keluarganya di Kampung Gelong Gajah, di sini musnah dalam kebakaran pada malam Selasa.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya empat ahli keluarga berada di rumah kerana ahli keluarga lain termasuk ibu dan bapa mentuanya, Che Husin Jusoh, 67 serta Kamariah Abdullah, 67 keluar makan dan ke bandar.

Keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian malam Selasa.
Keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian malam Selasa.

"Kami tinggal tiga sekeluarga di rumah ini, dalam 12 orang. Bila jadi macam ni, tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk motosikal dan kereta. Semuanya hangus terbakar.

"Ibu dan bapa mentua saya juga masih terkejut kerana kami baru sahaja menyambut Aidilfitri dan kini hilang segala-galanya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Rabu.

Berkongsi detik cemas, Nurul Waddah berkata, ketika kejadian terdapat orang awam yang cuba membantu memadam api dan menyelamatkan ahli keluarganya, namun mengalami sesak nafas.

"Saya tak pasti macam mana keadaan dia, yang saya tahu dia telah dihantar ke hospital untuk rawatan," ujarnya.

Sementara itu, Nurul Waddah berkata, mereka kini tinggal sementara di sebuah rumah inap di Kampung Gong Nangka, hasil bantuan penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tiga buah motosikal dan dua buah kereta antara kenderaan yang hangus terbakar dalam kebakaran kira-kira jam 10.46 malam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Toyyibah Taib berkata, kebakaran memusnahkan hampir 90 peratus sebuah rumah separuh kekal dan 30 peratus rumah kedua jenis kekal.

Selain itu, tiga motosikal turut terbakar hampir 90 peratus selain dua buah kereta masing-masing rosak 50 dan 20 peratus.

Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!