Penugasan Op Sekat 3.0 hingga 3 Mei depan

RAUB - Penugasan kawalan keselamatan dan pemantauan menerusi Op Sekat 3.0 di hutan simpan kekal serta tanah kerajaan negeri di Batu 3, Sungai Ruan di sini bermula pada Selasa hingga 3 Mei depan.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, operasi itu dijangka merangkumi semua kawasan yang telah diteroka tanpa kebenaran di daerah Raub.
Menurutnya, operasi itu melibatkan pegawai dan anggota dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pejabat Tanah Daerah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
"Seramai 10 pegawai dan 137 anggota terlibat dalam operasi itu," katanya ketika menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi itu pada Selasa.
Ahli Parlimen Raub merangkap Penasihat Save Musang King Alliance (Samka), Chow Yu Hui, sebelum ini mendedahkan bahawa UPNP, JPNP, pejabat tanah dan polis telah menjalankan operasi penguatkuasaan di kebun durian tanpa geran di Sungai Klau, Raub, kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.
Yu Hui melalui satu kenyataan mendakwa, dalam operasi tersebut, sebanyak 200 pokok durian telah ditebang, menyebabkan kerugian besar kepada pekebun.
Menurutnya, pekebun yang kembali ke kebun sekitar jam 3 petang mendapati pokok-pokok durian musang king yang ditebang kebanyakannya berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

