Ferdinand senarai empat pemain bantu bina semula Manchester United

BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand tampil dengan senarai empat pemain yang menurutnya harus menjadi keutamaan Ruben Amorim dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan The Red Devils.
Selepas musim yang menyedihkan di bawah Erik ten Hag, United kini bergelut di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan telah tersingkir daripada semua kejohanan kecuali Liga Europa.
Ferdinand percaya pembinaan semula yang menyeluruh amat diperlukan dan beliau sependapat dengan Gary Neville bahawa United perlukan lima pemain.
“Tapi saya rasa empat pun boleh, walaupun mereka akan terikat dengan PSR (Peraturan Keuntungan dan Kelestarian),” katanya
Dalam siaran audio siar Rio Ferdinand Presents, Ferdinand menyarankan agar United mendapatkan pemain tengah muda Crystal Palace, Adam Wharton untuk digandingkan dengan Manuel Ugarte di tengah padang.
“Pemain itu perlu mampu memegang bola dan menyalurkannya kepada Bruno (Fernandes) dan barisan penyerang. Dan tahu siapa yang saya akan pilih? Adam Wharton,” katanya.
Wharton, 21, pantas menyesuaikan diri di EPL selepas perpindahan dari Blackburn dan telah pun menarik perhatian bekas pengurus England, Gareth Southgate.
Walaupun sempat mengalami kecederaan, Wharton kini kembali cergas dan sedang dipantau oleh Real Madrid.
Masalah ketumpulan serangan turut menjadi fokus Ferdinand apabila United hanya menjaringkan 37 gol musim ini.
Beliau mencadangkan nama penyerang Nigeria, Victor Osimhen, sebagai penyelesaian utama.
“Kita perlukan seseorang yang tahu bagaimana untuk menjaringkan gol... dan boleh menunjukkan kepada penyerang muda di Man United cara melakukannya.
“Kalau saya di Man United, saya akan pastikan ia berlaku,” tegasnya.
Osimhen yang meledak 31 gol ketika membantu Napoli menjuarai Serie A pada musim 2022-23, kini sedang menyerlah bersama Galatasaray dengan 26 gol musim ini.
Namun, klausa pelepasan bernilai £63 juta (RM362 juta) dan minat dari kelab besar lain seperti Arsenal, Juventus dan Barcelona dijangka menyukarkan rundingan.
Ferdinand turut mencadangkan Matheus Cunha dari Wolves, walaupun pemain Brazil itu baru menandatangani kontrak jangka panjang.
“Dia dah nyatakan yang dia mahu pergi, jadi saya akan ambil Cunha,” ujar Ferdinand merujuk kepada kenyataan Cunha baru-baru ini tentang hasratnya untuk “mengambil langkah seterusnya”.
Sasaran keempat Ferdinand adalah bek kanan Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong yang menyerlah di bawah Xabi Alonso.
“Tahu siapa lagi yang saya akan ambil? Frimpong di posisi sayap kanan,” katanya.
Frimpong pernah menimba ilmu di akademi Manchester City dan kini dikaitkan dengan beberapa kelab besar termasuk Liverpool.
Empat nama pilihan Ferdinand ini dilihat sebagai langkah penting jika Amorim mahu membina skuad yang mampu kembali bersaing di peringkat tertinggi musim depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!