Dua kereta, tiga motosikal rentung dalam kebakaran dua rumah

KUALA TERENGGANU - Dua buah kereta dan tiga buah motosikal antara kenderaan yang hangus dalam insiden kebakaran dua buah rumah di Kampung Gelong Gajah, berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Razali Ismail, di sini pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 10.46 malam itu turut memusnahkan sebuah rumah separuh kekal dengan kerosakan 90 peratus, manakala sebuah lagi rumah jenis kekal terbakar 30 peratus.
Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Toyyibah Taib berkata, tiga buah motosikal yang terbakar hampir 90 peratus serta dua buah kereta masing-masing rosak 50 dan 20 peratus.
"Rumah pertama hampir musnah sepenuhnya bersama sebuah kereta serta tiga motosikal.

"Rumah kedua pula terbakar 30 peratus dengan sebuah kereta dan motosikal turut terjejas," katanya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.46 malam.
"Jentera pertama tiba pada jam 10.55 malam dan api berjaya dikawal sekitar 11.09 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.59 pagi," katanya.
Jelas beliau, insiden itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Bagaimanapun, katanya, seorang lelaki dewasa mengalami sesak nafas ketika cuba membantu memadamkan api dan telah dibawa ke hospital oleh pihak ambulans.
"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
