Kebakaran Putra Heights: PN gesa siasatan telus, adil dan berintegriti

SHAH ALAM - Siasatan terhadap punca sebenar kejadian kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, wajib dilakukan secara menyeluruh, profesional, telus dan berintegriti.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan yang kini dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu menjadi kayu ukur terhadap komitmen negara dalam memenuhi aspek kebenaran dan keluhuran undang-undang.
Justeru itu, Takiyuddin berkata, PN berpandangan kenyataan awal Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkembangan siasatan adalah satu langkah tepat dalam memberi maklumat rasmi kepada orang ramai sekali gus meredakan kegusaran dan mengelak penularan maklumat palsu.
"Insiden sebesar ini menuntut ketelusan maklumat daripada pihak berkuasa kerana ia membabitkan kepentingan awam yang sangat besar.
"Sebarang percanggahan, simpang-siur atau salah maklumat terutamanya jika berpunca daripada pihak berkuasa perlu dielakkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Takiyuddin berkata, PN turut menolak sebarang cubaan melindungi pihak tertentu atau menyembunyikan fakta, keterangan dan kesalahan kerana tindakan itu bertentangan dengan prinsip keadilan.
Menurutnya, PN dimaklumkan siasatan kini terbahagi kepada dua skop utama iaitu aspek teknikal oleh JKKP dan aspek jenayah oleh pihak polis, termasuk meneliti kemungkinan unsur khianat, kecuaian dan pelanggaran undang-undang.
"Pendekatan berkenaan membolehkan fokus khusus diberikan kepada punca teknikal serta kemungkinan kecuaian atau tindakan jenayah manusia.
"PN menyambut baik komitmen pihak polis untuk menyiapkan laporan awal dalam dua minggu dan laporan penuh dua minggu selepas itu kerana garis masa jelas ini menunjukkan ketelusan dan kesungguhan siasatan," katanya.
Takiyuddin berkata, hasil siasatan kelak harus dijadikan asas kepada penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem, prosedur dan perundangan berkaitan keselamatan industri perbekalan gas di negara ini.
"Insiden Putra Heights harus dijadikan titik tolak untuk memperketat kawal selia terhadap reka bentuk, pemasangan dan pemantauan saluran gas, terutama di kawasan berpenduduk," tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, agensi dan syarikat terbabit agar terus membantu mangsa insiden yang kehilangan tempat tinggal serta mengalami trauma dan ketidakpastian masa depan.
"Inisiatif kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara adalah langkah positif. Ia perlu dikembangkan kepada aspek pampasan, sokongan psikologi dan jaminan keselamatan jangka panjang," katanya.
Takiyuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan seperti bomba, polis, perubatan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus mengawal keadaan sejak hari kejadian.
"Pengorbanan mereka membuktikan barisan hadapan kita sentiasa cekap, berani dan tidak pernah mengecewakan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
