Sathia serah kepada FAS isu stadium

Perlawanan Liga Perdana antara pasukan Selangor 2 bertemu Terengganu FC ll di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM). -Foto Bernama
Perlawanan Liga Perdana antara pasukan Selangor 2 bertemu Terengganu FC ll di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM). -Foto Bernama
A
A
A

“SAYA ikut pengurusan pasukan kerana yang penting saya sebagai jurulatih nak lihat penyokong Selangor bersama kita bagi memberikan sokongan padu kepada pemain.”

Itu reaksi Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan ketika mengulas keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan Stadium Shah Alam tidak selamat untuk digunakan bagi tujuan aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pada masa sama Sathianathan percaya pemilihan venue lain tidak akan menjejaskan sokongan padu khasnya penyokong setia Gergasi Merah bagi membarakan semangat para pemain Selangor.

Justeru menurutnya, dia menyerahkan kepada pengurusan untuk membuat keputusan berhubung pemilihan stadium yang bersesuaian untuk dijadikan gelanggang skuad The Red Giants itu musim ini.

“Saya risaukan (keselamatan) penyokong Selangor. Saya akan sokong apa yang baik untuk penyokong Selangor.

“Sebagai jurulatih, kalau boleh nak lihat penyokong Selangor berada bersama kita dalam setiap perlawanan kerana mereka adalah pemain ke-12 kita.

“Soal bagaimana untuk tentukan venue (stadium), selewat-lewatnya, esok (hari ini) adalah antara FAS dan MFL,” katanya kepada Sukan Sinar.

MFL memaklumkan bahawa Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan selepas hasil pemeriksaan mendapati keadaan semasa bumbung masih tidak selamat bagi pengelolaan perlawanan Liga-M 2020.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada FAS melalui surat rasmi pada 28 Februari lalu selepas melakukan tiga kali pemeriksaan keselamatan terhadap Stadium Shah Alam.

Sehubungan itu menurut Ab Ghani, FAS perlu menamakan venue lain sebagai gelanggang tuan rumah dengan kadar segera selewat-lewatnya sebelum 2 Mac.

Sekali gus turut menyebabkan aksi Liga Super antara Selangor dan Perak yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam7 Mac ini akan berlangsung di venue baharu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan perlawanan berkenaan diadakan di Stadium Perak, Sathianathan berkata, ia akan menyebabkan kesemua empat perlawanan awal skuad Merah Kuning itu akan berlangsung di luar Shah Alam.

Katanya, dengan keadaan itu pasti sukar untuk menyasarkan kedudukan terbaik buat Selangor musim ini apabila pada peringkat awal terpaksa beraksi di gelanggang lawan.

“Kalau main di Ipoh, itu bermakna kita main empat away game. Lepas itu kita bercita-cita nak sasar kedudukan yang baik dalam liga.

“Macam mana kalau mula-mula empat perlawanan sudah main di luar, ini memang tak masuk akal,” katanya.