2,806 individu ditahan, nilai rampasan RM4.8 bilion

AZMI
AZMI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 2,806 individu ditahan menerusi pelbagai operasi yang dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dari awal tahun hingga 4 April lalu membabitkan nilai rampasan bernilai RM4.8 bilion.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, dalam tempoh sama, pihaknya turut mencatat sebanyak 3,773 kes, serbuan serta laporan polis.

"Ini satu jumlah yang sangat membanggakan malah kepimpinan pasukan khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah menyuarakan rasa gembira dengan pencapaian yang telah dibuat oleh kita," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Pengarah KDNKA menerusi siaran langsung di Facebook, pada Selasa.

Azmi berkata, kejayaan itu merupakan sebahagian daripada titik tolak untuk mengangkat nama KDNKA sebagai pasukan yang mampu melaksanakan pelbagai tugasan diamanahkan.

"Bagaimanapun, ia bukan titik noktah untuk kita berpuas hati dengan pencapaian, malah ia merupakan sebahagian daripada cabaran dalam perkhidmatan serta usaha untuk kita tingkatkan lagi pencapaian," ujarnya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, beliau telah mengarahkan Urusetia dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Gerakan KDNKA untuk merangka dan menyediakan satu format laporan berkaitan rampasan yang telah diserahkan kepada agensi berkaitan.

"Laporan ini bertujuan membolehkan apa yang kita rampas dan diserahkan kepada pihak berkenaan. Mereka perlu melaporkan tindakan yang mereka ambil dalam menguruskan hasil rampasan yang KDNKA laksanakan," ujarnya.

Azmi berkata, pasukan KDNKA juga perlu meningkatkan ilmu kepolisan.

"Saya juga berharap semua penyelia apabila kita melaksanakan serbuan, tangkapan dan rampasan dapat memastikan semua aspek kesalahan yang ada mengikut undang-undang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!