Pasaran saham AS turut terjejas akibat tarif baharu Trump

NEW YORK - Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) terus menurun pada dagangan awal pagi Isnin apabila pelabur menarik diri untuk hari ketiga selepas Presiden Donald Trump melancarkan perang perdagangan global dan penafian beliau mungkin mempertimbangkan penangguhan sementara.
Berikutan itu, pasaran saham AS telah terjejas teruk oleh rancangan pentadbiran Trump untuk mengenakan tarif yang meluas ke atas semua import ke negara itu serta lebih banyak cukai ke atas beberapa rakan dagangan utama.
Indeks S&P 500 jatuh 20 peratus secara berterusan daripada paras penutupan tertinggi pada Februari lalu.

Jika indeks berakhir dengan penurunan 20 peratus daripada paras penutupan tertinggi sepanjang masa, ia akan mengesahkan bahawa indeks telah memasuki pasaran menurun, sejak Februari.
Indeks Dow Jones yang merupakan kumpulan saham mewah pula turun hampir 17 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa pada bulan Disember.
Bagaimanapun, pada satu ketika harga saham secara tiba-tiba berbalik arah dan melonjak selepas laporan yang mengatakan Trump sedang mempertimbangkan penangguhan 90 hari terhadap tarif terbaru.
Bagaimanapun, pegawai Rumah Putih dengan cepat menafikan laporan tersebut, sekali gus menyebabkan pasaran kini kembali berada dalam keadaan negatif.
Pada pukul 11:18 pagi Isnin, Indeks Dow Jones Industrial Average (DJI) jatuh 854.89 mata atau merosot 2.23 peratus kepada 37,459.97, Indeks S&P 500 (SPX) pula turun 85.02 mata atau 1.68 peratus kepada 4,989.06 dan Nasdaq Composite (IXIC) merosot 218.06 mata atau 1.40 peratus kepada 15,369.73.
Ketiga-tiga indeks tersebut berada pada paras terendah lebih daripada satu tahun.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif besar ke atas rakan dagangan AS pada minggu lalu, mencetuskan tindak balas daripada China yang melahirkan kebimbangan bahawa perang perdagangan ini akan menghalang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan tekanan inflasi.
Dalam dua sesi selepas pengumuman tarif baharu, indeks S&P 500 telah merosot 10.5 peratus menghapuskan hampir AS$5 trilion (RM22.5 trilion) dalam nilai pasaran, mencatatkan kerugian dua hari terbesar sejak Mac 2020.
Trump memberitahu wartawan pada Ahad lalu bahawa pelabur perlu menghadapi akibatnya dan beliau akan menahan diri daripada berunding dengan China sehingga defisit dagangan AS diatasi.
Penurunan mendadak dalam dua sesi dagangan yang lalu mendorong Nasdaq yang berat dengan saham teknologi ke dalam kawasan pasaran menurun, sementara indeks Dow Jones merosot lebih daripada 10 peratus daripada paras penutupan tertinggi sepanjang masa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
