Lelaki warga Singapura lemas, rakan warga India masih hilang

MERSING – Kegembiraan tiga sahabat bermandi-manda di Pulau Mawar di sini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dibawa arus dalam kejadian pada petang Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Pegawai Bomba Kanan II Azman Yahya berkata panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 2.37 petang.
Menurut beliau, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kejadian melibatkan tiga mangsa lelaki dewasa yang mandi di pantai tersebut.
"Seorang mangsa warga tempatan berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi rakannya dipercayai lemas akibat dibawa arus deras.
"Seorang mangsa lelaki warga Singapura, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terapung di permukaan pantai sebelum dibawa ke pesisir oleh orang awam," katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, operasi SAR giat dijalankan bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga India yang masih hilang.
"Pencarian diteruskan dengan menggunakan teknik surface searching dikawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang untuk mencari seorang lagi mangsa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

