Rampasan dadah KL meningkat tujuh kali ganda

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM118 juta menerusi 5,783 tangkapan yang dilakukan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Beliau berkata, jumlah itu meningkat tujuh kali ganda berbanding nilai rampasan dalam tempoh sama tahun lepas iaitu RM19.3 juta nilai dadah dengan 5,977 tangkapan.
"Malah ia turut melebihi nilai rampasan dadah sepanjang tahun lepas iaitu RM112.8 juta melibatkan 21,544 orang tangkapan.
"...tetapi kita tak boleh terus rasa berpuas hati dengan pencapaian ini, sebab kalau boleh, kita nak banteras dadah ini semaksimum mungkin,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Terdahulu, beliau menyaksikan upacara serah terima tugas antara Ketua JSJN Kuala Lumpur yang baharu, Asisten Komisioner Zulkepli Hashim dengan pemangku Ketua JSJN Kuala Lumpur, Superintenden Mohamad Alpiyang Ali yang memangku jawatan tersebut sejak 6 Januari lepas.
"Diharap dengan pengalaman Asisten Komisioner Zulkepli Hashim sebagai Ketua JSJN di Sabah dapat membanteras jenayah narkotik dengan lebih berkesan di kota metropolitan ini," katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
