Prabowo pertimbang rombak Kabinet

Prabowo Subianto.- Foto AFP
Prabowo Subianto.- Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk merombak barisan Kabinet beliau dalam beberapa bulan akan datang, susulan prestasi mengecewakan beberapa menteri dan tekanan politik daripada rakan-rakan gabungan pemerintah.

Menurut tiga pegawai kanan kerajaan yang enggan dinamakan, pihak dalaman pentadbiran Prabowo mencadangkan agar 'unsur lemah' dalam Kabinet yang baru berusia enam bulan digugurkan, bagi mempercepatkan pelaksanaan janji-janji kempen presiden.

Langkah itu dipercayai berpunca daripada kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi negara serta perbelanjaan pengguna yang semakin merosot, berikutan pelaksanaan program populis yang memerlukan peruntukan besar dalam keadaan hasil cukai yang menurun.

Situasi tersebut turut menyumbang kepada kejatuhan nilai rupiah ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1997, di samping kejatuhan pasaran saham Indonesia ke tahap terendah dalam lebih sedekad.

Prabowo sebelum ini menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak lapan peratus menjelang akhir penggal beliau pada 2029.

Bagaimanapun unjuran dalaman kerajaan bagi suku pertama 2025 dijangka jauh lebih rendah, sekitar 4.5 hingga 4.9 peratus.

Antara nama yang disebut-sebut bakal digugurkan ialah Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Menurut sumber, tiada kerjasama yang baik antara beliau dengan menteri-menteri di bawah bidang kuasanya.

Pakar komunikasi politik dari Universiti Padjadjaran, Dr Kunto Adi Wibowo berkata, rombakan Kabinet adalah sepenuhnya hak prerogatif Presiden.

Artikel Berkaitan:

“Prabowo jelas tidak berpuas hati dengan cara beberapa anggota pentadbiran beliau menyampaikan program kepada rakyat, hingga menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan tidak menjalankan tugasnya,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!