Lelaki maut ketika buat pendawaian rumah

Pasukan bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dengan membawa turun mangsa dalam kejadian di Chemor, Ipoh pada Ahad. Foto Ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dengan membawa turun mangsa dalam kejadian di Chemor, Ipoh pada Ahad. Foto Ihsan Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki ditemui meninggal dunia ketika melakukan kerja-kerja pendawaian di bahagian siling sebuah rumah di Taman Chemor Perdana, Chemor di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat yang diterima pada jam 6.23 petang melaporkan mangsa yang berusia 39 tahun itu pengsan di tempat kejadian.

Menurut beliau, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun diatur gerak ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

"Setibanya jentera di rumah jenis 1 tingkat itu, didapati seorang lelaki telah pengsan di atas siling rumah dan operasi penyelamatan terus dilakukan.

"Anggota penyelamat bersama anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) menaiki ruangan siling rumah menggunakan tangga dan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa," katanya di sini.

Sabarodzi berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Setelah itu mangsa dibawa turun menggunakan 'scoop stretcher' melalui ruangan siling menggunakan tangga.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.27 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!