[VIDEO] Kerajaan perlu jujur kesan langkah tarif Trump kepada negara - Syed Saddiq
KOTA BHARU - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu kerajaan bersikap jujur dengan memberi maklumat tepat kepada rakyat berkaitan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menaikkan tarif import dari pelbagai negara termasuk Malaysia.
Beliau berkata, tindakan Amerika Syarikat itu dijangka mengubah struktur industri semikonduktor tempatan.

"Tindakan itu perlu supaya rakyat bersedia untuk berdepan dengan impak terhadap ekonomi," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Cik Bakes di Kok Lanas di sini pada Ahad.
Hadir sama ialah penyanyi dan pelakon, Bella Astilah.
Menurut beliau, walaupun ada beberapa penganalisis menyatakan pandangan Malaysia tidak terkesan kerana sektor semikonduktor akan dikecualikan, namun tempias itu bakal dirasai.
Ujarnya, bagaimanapun sekitar 30 peratus pemain industri dalam semikonduktor yang akan dikecualikan.

"Maksudnya banyak syarikat kecil dalam rantaian semikonduktor) termasuk gergasi yang bertapak di Pulau Pinang, Kulim (Kedah) dan semua pelaburan akan terkesan sekiranya menjual produk kepada Amerika Syarikat pada harga tinggi.
"Malaysia merupakan sebuah negara pengeksport terbesar yang mempunyai hubungan dagangan tinggi dengan Amerika Syarikat berkaitan dengan industri semikonduktor dan Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dipacu oleh sektor berkenaan," katanya.
Menurut Syed Saddiq, situasi itu menyebabkan produk keluaran negara tidak kompetetif.
"Sudah ramai Perdana Menteri dan Presiden di negara lain telah bersikap jujur dalam memberikan maklumat berkaitan impak berhubung perkara itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq memberitahu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN perlu mengajak seluruh pemimpin di rantau ini untuk bertemu dengan Trump.
"Jadi saya harap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat berunding secepat mungkin berhubung perkara ini supaya ekonomi negara-negara ASEAN tidak akan terjejas teruk kesan pelaksanaan langkah oleh Trump itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

