Kerajaan Kelantan pantau keselamatan pelajar di Timur Tengah

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sentiasa memantau keselamatan pelajar negeri ini yang mengikuti pengajian di Timur Tengah bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri telah menempatkan duta dan pegawai sebagai wakil Kelantan untuk memberikan maklumat terkini berkaitan situasi semasa di negara-negara terbabit.
"Selain itu kita turut bekerjasama dengan Wisma Putra bagi memastikan keselamatan dan nasib pelajar di sana berada pada tahap terbaik," katanya semasa sidang akhbar Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Ahad.
Wan Roslan menambah, kerajaan negeri berharap agar pelajar terus berhubung dengan wakil negeri dan negara untuk menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini mereka.
“Kerajaan Kelantan mahu hubungan antara pelajar dan wakil negeri serta negara tidak terputus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

