Duit raya makin naik, bajet perlu ditingkatkan

Pemberian duit raya bukanlah wajib, sebaliknya meraikan kasih sayang dan kemeriahan Aidilfitri. Gambar hiasan
Pemberian duit raya bukanlah wajib, sebaliknya meraikan kasih sayang dan kemeriahan Aidilfitri. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan duit raya pada Aidilfitri menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh 10 tahun disebabkan nilai barang semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menerusi tinjauan dilakukan, kebanyakan individu menyatakan pemberian minimum duit raya bagi kanak-kanak sekitar RM5 hingga RM20 bagi setiap sampul berbanding hanya RM2 hingga RM10 pada 2014.

Pegawai komunikasi korporat, Noor Eszereen Juferi, 44, berkata, bajet khas duit raya disediakan sekitar RM300 hingga RM600 untuk diberikan kepada ahli keluarga termasuk anak saudara dan ibu bapa.

Noor Eszereen
Noor Eszereen

Menurutnya, jumlah yang disediakan itu lebih tinggi berbanding 10 tahun lepas kerana nilai pemberian dinaikkan selain bilangan penerima juga semakin bertambah.

“Dahulu kanak-kanak yang dapat RM1 sudah memadai, berbeza dengan sekarang mereka lebih biasa menerima RM10 atau RM20 daripada saudara-mara.

“Sebagai orang dewasa yang sudah bekerja, saya rasa bertanggungjawab untuk memberi lebih banyak kepada golongan lebih muda atau orang tua.

“Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, memang ada peningkatan duit raya ini apatah lagi ahli keluarga juga semakin ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Noor Eszereen, pemberian duit raya tersebut turut dibahagikan mengikut kategori umur penerima bermula golongan kanak-kanak, remaja, pelajar universiti dan orang tua.

Bagi pekerja swasta, Mohd Zamir Mohd Yusoff, 39, mengakui bahawa jumlah yang diberi sekarang lebih tinggi kerana kanak-kanak kini lebih memahami nilai wang.

Menurutnya, golongan itu sendiri sudah terbiasa menerima RM5 hingga RM10 malah, ada yang mendapat lebih daripada jumlah berkenaan.

“Saya merasakan pemberian duit raya bukan lagi disebabkan oleh faktor tradisi tetapi juga dipengaruhi oleh perubahan ekonomi serta pemahaman masyarakat terhadap nilai wang.

“Kalau kita beri jumlah kecil mereka mungkin terkejut atau rasa kurang berpuas hati malah ada yang melontarkan kata-kata kesal di hadapan si pemberi,” tambahnya.

Situasi sama turut dikongsi oleh pekerja swasta, Muzzammil Muhammad Azahari, 33, yang menganggap peningkatan jumlah duit raya perlu disediakan pada tahun ini sebagai sesuatu tidak dapat dielakkan.

Muzzammil
Muzzammil

“Jika lima hingga 10 tahun lalu mungkin nilai RM1 itu sudah memadai cuma sekarang dengan peningkatan ekonomi serta barang semakin mahal menjadikan masyarakat memandang RM10 ke atas sebagai jumlah yang biasa untuk diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, Muzzammil berkata, masyarakat tidak perlu merasa tertekan untuk memberi dalam jumlah yang besar sekiranya tidak berkemampuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!