Penganggur maut kemalangan tiga kenderaan

Mangsa, Mohamad Aqil Ameer Mohd Kamsalruzam, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Gambar kanan: Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 132, Jalan Kuantan-Seremban pada Sabtu. Foto FB Ibam Sejahtera
Mangsa, Mohamad Aqil Ameer Mohd Kamsalruzam, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Gambar kanan: Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 132, Jalan Kuantan-Seremban pada Sabtu. Foto FB Ibam Sejahtera
A
A
A

ROMPIN - Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 132, Jalan Kuantan-Seremban, berdekatan simpang tiga Bandar Tun Razak, awal pagi Sabtu.

Mangsa, Mohamad Aqil Ameer Mohd Kamsalruzam, 18, yang merupakan penganggur, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 2.45 pagi apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Muadzam Shah.

"Ketika cuba membelok ke kanan simpang Bandar Tun Razak, motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan melanggar bahagian pintu belakang sebelah kiri kenderaan tersebut.

"Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke arah sebuah Proton Saga yang berada di belakang Perodua Alza," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pemandu Perodua Alza dan Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu Alza telah ditahan bagi membantu siasatan yang kini dikendalikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!