Pas Selangor gesa siasatan telus insiden kebakaran di Putra Heights

Pas Selangor gesa pihak berkuasa memberi keutamaan terhadap kebajikan mangsa dan menjalankan siasatan secara telus berhubung insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu. Gambar kecil: Zurk
Pas Selangor gesa pihak berkuasa memberi keutamaan terhadap kebajikan mangsa dan menjalankan siasatan secara telus berhubung insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu. Gambar kecil: Zurk
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor menggesa pihak berkuasa memberi keutamaan terhadap kebajikan mangsa dan menjalankan siasatan secara telus berhubung insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, kejadian yang meragut ketenteraman penduduk itu merupakan satu ujian besar kepada rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan fahaman politik.

"Pas Selangor ingin merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang tercedera agar segera sembuh serta diberi ketabahan menghadapi dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, Pas Selangor turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas termasuk agensi kerajaan, swasta, pasukan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia yang terus memberi khidmat sejak hari kedua Aidilfitri.

“Khidmat bakti kalian membuktikan semangat patriotik yang tinggi dan kepakaran dimiliki amat dihargai.

"Kami sanjung tinggi komitmen semua pihak yang turun ke lapangan membantu mangsa," ujar beliau.

Mengulas perkembangan siasatan, Zurk berkata, pihaknya menghargai pendedahan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berhubung aktiviti kerja tanah menggunakan jengkaut dan mesin pengorek bagi tujuan penggantian paip kumbahan yang didakwa berlaku hanya 30 meter dari pusat letupan.

"Pas berpandangan pelbagai persoalan rakyat seperti isu kelulusan kerja, permit, pemantauan, status kontraktor dan pampasan perlu dijawab secara bertanggungjawab dan profesional.

"Ini masa untuk kerajaan mengkaji semula proses dan dasar sedia ada serta menunjukkan kepimpinan sebenar," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!