Remaja dicekup curi motosikal penonton bola sepak

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki direman tiga hari bermula hari ini kerana mencuri motosikal seorang penonton bola sepak di kawasan meletak kenderaan Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Nerus.

Suspek berusia 14 tahun itu ditahan dalam Op Lejang oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Menurut sumber, suspek sebelum itu yang membonceng sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dilihat berlegar-legar di kawasan meletak kenderaan di stadium tersebut dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas 10 minit kemudian, suspek pergi ke arah sebuah motosikal sambil melihat kenderaan tersebut dan dalam masa sama memerhati keadaan sekeliling.

"Beberapa minit kemudian, anggota bertugas merapati suspek sebelum bertindak menangkapnya. Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, pemeriksaan lanjut ke atas remaja tersebut menjumpai sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam yang disembunyikan di kawasan meletak kenderaan itu.

Katanya lagi, turut ditemukan sebatang pemutar skru yang juga disembunyikan di dalam raga motosikal berkenaan.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif membenarkan suspek ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: