Anak-anak OKU mangsa kebakaran saluran gas dapat perhatian

Danial (kiri) turun padang ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights untuk meninjau keadaan mangsa, khususnya golongan OKU
Danial (kiri) turun padang ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights untuk meninjau keadaan mangsa, khususnya golongan OKU
A
A
A

SUBANG JAYA – Golongan anak-anak orang kurang upaya (OKU) yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights menerima perhatian khas daripada kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron berkata, beliau sendiri turun padang ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights untuk meninjau keadaan mangsa, khususnya golongan OKU yang memerlukan intervensi awal dan sokongan psikososial.

“Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 14 individu OKU dikenal pasti, namun hanya tiga orang berada di PPS.

"Justeru, saya hadir semula ke lokasi pada 4 April bersama pakar terapi pertuturan dan audiologi, pasukan terapi cara kerja (occupational therapist) dan pegawai intervensi daripada Jabatan ANIS Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pasukan intervensi tersebut menziarahi tiga khemah yang menempatkan anak-anak OKU dengan keperluan khas, dan hasil lawatan itu satu pelan intervensi berkala telah dirangka bagi membantu mereka sepanjang tempoh di PPS.

“Antara keperluan yang disediakan termasuk permainan berbentuk terapi seperti Lego dan puzzle, bagi merangsang perkembangan sensori dan motor kasar mereka,” ujarnya.

Tambahnya, Jabatan ANIS juga akan menyediakan Bantuan Khas ANIS untuk memastikan keluarga yang terjejas, termasuk bukan asnaf, menerima bantuan secukupnya.

Danial turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kehadiran dan keprihatinan mereka terhadap nasib warga OKU yang terjejas dalam tragedi tersebut.

“Saya menyeru lebih banyak agensi tampil menghulurkan bantuan kepada kumpulan minoriti ini. Dalam keadaan krisis seperti ini, tiada golongan harus tercicir,” tegasnya.

Dalam lawatan itu juga, pihaknya turut mengedarkan kit permainan kepada anak-anak di PPS bagi memberikan sedikit kegembiraan dalam situasi sukar yang sedang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!