Kebakaran saluran gas: Takaful Malaysia salur RM100,000, bantu percepat proses tuntutan

Takaful Malaysia akan terus membantu pelanggan yang terjejas akibat tragedi saluran paip gas terbakar di Putra Heights. Gambar kecil: Nor Azman Zainal
Takaful Malaysia akan terus membantu pelanggan yang terjejas akibat tragedi saluran paip gas terbakar di Putra Heights. Gambar kecil: Nor Azman Zainal
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menyumbangkan RM100,000 kepada mangsa tragedi saluran paip gas terbakar di Putra Heights.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azman Zainal berkata, tindakan pantas itu selaras dengan langkah kerajaan yang memberikan bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, menyedari keperluan yang mendesak, Takaful Malaysia bertindak menyalurkan bantuan kewangan segera untuk membantu mangsa yang terlibat.

“Kami ingin menzahirkan keprihatinan dan solidariti kepada mangsa insiden yang terjejas dan mengharungi kesukaran akibat tragedi ini.

“Sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab, kami berusaha untuk meringankan beban mangsa yang terjejas dan membantu mereka menghadapi masa yang mencabar ini.

“Sumbangan segera ini bertujuan untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, menurut Nor Azman, mereka akan terus membantu pelanggan dengan mempercepatkan proses tuntutan tanpa memerlukan laporan polis bagi yang layak tanpa sebarang kelewatan.

Tambahnya, Takaful Malaysia juga menyediakan talian bantuan tuntutan khas bagi mempercepatkan proses penyelesaian tuntutan demi kemudahan pelanggan.

Bagi tuntutan bukan motor, pelanggan boleh menghubungi 012-927 1686 atau 017-328 3543, manakala untuk tuntutan motor, orang ramai boleh menghubungi talian 1800-888-788 untuk bantuan segera atau nombor alternatif 016-354 1991 atau 019-629 2680.

Artikel Berkaitan:

“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh pelanggan dan menjadi tanggungjawab kami sebagai penyedia perlindungan takaful untuk membantu dan memudahkan urusan tuntutan mereka.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, kami sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha kemanusiaan dengan memberikan bantuan segera semasa krisis,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!