Rahmah sambut Aidilfitri bersama empat generasi

Rahmah (tengah) bersama cucunya, Noor Izam dan Sharifah Mas 'Aza.
Rahmah (tengah) bersama cucunya, Noor Izam dan Sharifah Mas 'Aza.
A
A
A

JERANTUT – Meskipun usianya telah mencecah 102 tahun, Rahmah Shabudin dari Felda Sungai Tekam masih bersemangat menyambut Aidilfitri bersama empat generasi keturunannya.

Warga emas itu kini dijaga oleh cucunya, Noor Izam Ahmad, 52, dan isteri, Sharifah Mas ‘Aza Mohamed, 44, sejak awal tahun ini.

Ketika ditemui Sinar Harian, Rahmah, yang mempunyai lima anak, 18 cucu, 55 cicit dan 11 piut, berkongsi keterujaannya setiap kali raya apabila dikelilingi ahli keluarga tersayang.

“Setiap kali raya, ketupat palas dengan rendang ayam wajib ada, selain kuih bahulu, maruku dan kerepek bawang. Semua juadah itu sudah ditempah cucu,” katanya.

Rahmah yang berasal dari Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyertai tanah rancangan Felda Sungai Tekam bersama arwah suaminya, Ariffin Sharif dari Changkat, Nibong Tebal, pada tahun 1965.

Ketika ditanya tentang rahsia penjagaan diri, Rahmah berkata tiada amalan khusus yang diamalkan, namun dia kini mengelakkan sayur seperti kacang dan kangkung kerana mudah mengalami sakit urat.

“Sejak masuk Felda dulu, saya banyak buat kerja kampung membantu suami.

“Sepanjang Ramadan pun saya masih berpuasa penuh, Alhamdulillah,” katanya yang kehilangan suami lebih 30 tahun lalu.

Noor Izam mendedahkan bahawa dia sangat rapat dengan neneknya kerana pernah dijaga oleh wanita itu sejak bayi sehingga berusia 12 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Saya berasal dari Semenyih, Selangor, dan mengambil keputusan berhenti kerja untuk kembali ke sini serta menjaga nenek,” kongsinya.

Menurutnya, Rahmah tidak pernah mengalami penyakit kronik, cuma mula menghidap darah tinggi sejak 15 tahun lalu tetapi masih kelihatan sihat dan cergas.

“Nenek hanya pernah mengalami demam dan batuk biasa, termasuk ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Tambahnya, dia sangat merindui masakan neneknya, terutama masak lemak cili api kulat sisir.

“Kalau ditanya kenangan raya, pasti saya ingat bagaimana nenek melayan semua ahli keluarga dan suka memasak untuk tetamu.

“Nenek kini hanya mampu mengesot untuk bergerak dalam rumah, tetapi tetap berpuasa penuh dan menunaikan solat,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!