Belanja sakan semasa raya sampai lupa banyak bil belum dibayar

Hari ini sudah masuk raya kelima. Poket pun sudah mula menipis. Duit gaji yang masuk sebelum Syawal walaupun masih ada, tidak mustahil ada yang tinggal cukup-cukup untuk bertahan sampai hujung bulan.
Tapi yang peliknya, masih ramai yang tetap senyum. Duit habis tapi hati gembira.
Inilah nikmat raya yang dikurniakan kepada kita setiap tahun. Merak Jalanan percaya semua orang pun sama, apabila masuk bulan Syawal, ramai yang tidak berkira. Duit raya untuk anak-anak saudara, sepupu-sepapat, jiran sebelah, semua dihulur dengan hati ikhlas tanda meraikan hari mulia.
Tidak cukup itu, ada yang memilih berkongsi rezeki dengan mengadakan rumah terbuka, walaupun bajet belanja dapur naik mencanak. Belum kira persalinan baju raya, kadang-kadang sampai empat lima pasang.
Tapi semua itu dibuat dengan rela hati. Lagipun raya setahun sekali.
Merak Jalanan setuju dengan pendapat seorang rakan. Katanya, duit boleh dicari, tapi momen-momen berharga ini tidak boleh dibeli. Kenangan bersama keluarga, berbual sehingga larut malam, ziarah saudara yang jarang berjumpa, semua itu lebih bernilai daripada wang ringgit.
Syawal mengajar kita banyak perkara. Kita diajar untuk memberi dan berkongsi, bukan hanya dalam bentuk wang ringgit tetapi juga kasih sayang dan perhatian.
Benar, tidak ada apa yang salahnya meraikan bulan penuh bermakna ini.
Tapi, kena juga berhati-hati agar tidak termenung tengok baki akaun bank yang semakin susut.
Hakikatnya, selepas habisnya kemeriahan raya, hidup tetap perlu diteruskan. Perbelanjaan harian dan belanja dapur perlu dijaga, perbelanjaan ulang alik ke tempat kerja dan sekolah anak-anak akan kembali seperti biasa.
Jangan kerana terlalu beraya sakan, sampai kita terlupa banyak bil-bil yang belum dilunaskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
