Lelaki kutip wang hampir RM1,000 tercicir di LPT di Gambang

SHAH ALAM - Seorang lelaki mengutip wang bernilai hampir RM1,000 yang didakwa tercicir oleh pengguna jalan raya lain sewaktu melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Gambang.
Menerusi perkongsian video TikTok milik @ajiq.jer, selain duit, dompet pemilik turut dijumpai terjatuh di kawasan berdekatan.
Menurut lelaki terbabit, dia tidak dapat mengejar pemilik berkenaan yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu.
Justeru, dia mengambil pendekatan mengutip duit yang tercicir sambil merakam video sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada pemilik terbabit.
Dia juga mengambil langkah memaklumkan kepada rakan-rakan serta berkongsi maklumat melalui kumpulan di media sosial mengenai insiden tersebut.
Hantaran video terbaharunya di TikTok pada Rabu menunjukkan bahawa pemilik berkenaan telah menghubunginya dan mengambil kembali wang terbabit.
“Kawan dia (pemilik) kongsikan nombor saya, dia terus hubungi saya. Mulanya macam tidak percaya.
“Jadi, saya minta pemilik tersebut membaca nombor kad pengenalan dan jumlah duit yang tercicir. Alhamdulillah, memang betul itu pemiliknya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

