Mangsa kebakaran paip gas Putra Heights terima bantuan RM1,000 - Fadhlina

Fadhlina ketika hadir ke PPS Masjid Putra Heights bagi meninjau keadaan mangsa kebakaran paip gas. Foto Awani
Fadhlina ketika hadir ke PPS Masjid Putra Heights bagi meninjau keadaan mangsa kebakaran paip gas. Foto Awani
A
A
A

SUBANG JAYA – Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong akan menerima bantuan khas RM1,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat sebagai sokongan bagi murid yang terjejas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban keluarga yang kehilangan kelengkapan persekolahan, termasuk buku teks dan keperluan lain.

"Kita juga akan mengaktifkan pasukan kaunselor di pusat pemindahan sementara (PPS), selain pasukan sokongan akademik bagi memastikan murid-murid ini dapat kembali ke sekolah dalam keadaan yang lebih bersedia," ujarnya pada Rabu.

Beliau yang ditemui pemberita di PPS Masjid Putra Heights menjelaskan, sesi persekolahan bagi murid terlibat mungkin ditangguhkan sementara sehingga tahap kesediaan mereka, termasuk dari segi psikologi, dipastikan.

Dalam lawatannya, Fadhlina turut memaklumkan, seramai 102 murid dari 23 sekolah serta lima guru terjejas akibat insiden ini. Empat daripada mereka kini menerima rawatan di hospital.

Setakat jam 8 pagi, jumlah mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights adalah seramai 484 orang daripada 109 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!