Cabaran menanti PM kelapan, kerajaan baharu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan baharu yang akan dibentuk dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan perlu memastikan pelaksanaan dasar yang efektif dan pembaharuan pembangunan nasional diteruskan tanpa kelewatan agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ketika ini, Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman daripada wabak koronavirus (Covid-19) hinggalah kepada perang perdagangan terhadap ekonomi, dasar dan pembaharuannya untuk merangsang ekonomi serta mengukuhkan asas negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meningkatkan penilaian risiko Covid-19 yang berpunca dari Wuhan, China kepada 'sangat tinggi'.

Pasaran seluruh dunia terjejas dengan implikasi daripada Covid-19. Virus berbahaya itu dilihat menjadi ancaman utama kepada ekonomi global kerana ia telah menular ke lebih daripada 50 negara di luar China.

Justeru, melindungi dan meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu perlu menjadi keutamaan kerajaan.

Langkah-langkah seperti pembaharuan institusi perlu terus menjadi teras utama memandangkan pembaharuan seumpama itu sangat sejagat dan boleh diterima oleh semua pihak yang seterusnya akan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran kewangan serta dalam kalangan perniagaan serta pengguna.

Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada Khamis merupakan satu permulaan baik untuk menangani impak Covid-19 terutama bagi industri yang menerima kesan langsung daripadanya.

Bagaimanapun, hasilnya tidak akan berlaku segera.

Artikel Berkaitan:

Pelabur, sama ada asing ataupun tempatan, akan terus melihat kepada peralihan kerajaan yang kukuh ke arah iklim politik stabil kerana ketidaktentuan dasar dan politik dijangka kekal pada tahap tertentu.

Pergolakan politik yang menyelubungi negara sejak seminggu lalu akhirnya selesai apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Muhyiddin, 72, yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah di hadapan Agong pada jam 10.30 pagi hari ini di Istana Negara.

Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada Isnin.

Muhyiddin anak kelahiran Muar merupakan antara ahli pengasas Bersatu pada 2016 sebelum ia menjadi satu daripada empat parti yang membentuk gabungan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Bersatu keluar daripada pakatan tersebut pada hari yang sama Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Muhyiddin memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah memegang jawatan bukan sahaja sebagai timbalan perdana menteri dari 2009 hingga 2015, tetapi juga beberapa portfolio kementerian dengan yang terakhir sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau juga sebelum itu berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Beliau merupakan Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995 sebelum kembali ke politik persekutuan pada 1995. - Bernama