Kebakaran saluran gas: KPKT kaji mekanisme sesuai bantu mangsa

KPKT sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang kehilangan tempat tinggal.
KPKT sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang kehilangan tempat tinggal.
A
A
A

SUBANG JAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang kehilangan tempat tinggal.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Petronas dalam menyediakan bantuan perumahan kepada mangsa.

“Siasatan berhubung punca kebakaran masih dijalankan, namun KPKT bersedia berunding dengan semua pihak berkepentingan bagi menyelaraskan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa yang kehilangan rumah kini ditempatkan di Masjid Nurul Iman Puchong dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

“Kami sedang meneliti langkah proaktif untuk mempercepatkan kerja baik pulih atau pembinaan semula kediaman kerana proses itu dijangka mengambil masa. Keutamaan kami ialah memastikan keluarga yang terjejas menerima sokongan secukupnya,” katanya.

Setakat jam 6 petang Selasa, laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan sebanyak 78 rumah dan 10 kedai musnah, manakala 237 rumah lain turut terjejas.

Seramai 305 mangsa terlibat dalam kejadian itu, dengan 125 daripadanya dilaporkan cedera.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan kewangan segera sebanyak RM5,000 kepada mangsa yang kehilangan rumah sepenuhnya dan RM2,500 bagi mangsa yang rumah mereka terjejas sebahagian.

Nga turut merakamkan penghargaan kepada anggota JBPM serta pengurusan rumah ibadat termasuk Masjid Nurul Iman, Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman yang tampil membantu mangsa tanpa mengira kaum dan agama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!