X

Kindly register in order to view this article
!

'Terima kasih ALLAH, Tuanku...'

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut puluhan penyokong ketika tiba di kediamannya di sini hari ini.
A
A

BUKIT DAMANSARA - [DIKEMASKINI] "Terima kasih kepada ALLAH SWT dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk lantikan pada hari ini," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.

Beliau tiba di kediamannya di Bukit Damansara jam 12.15 tengah hari ini dan disambut puluhan penyokongnya.

Doa kesyukuran turut dibacakan bagi menzahirkan kesyukuran atas lantikan beliau sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya akan memberikan kenyataan dalam beberapa jam nanti," katanya ringkas sewaktu diminta berkongsi perasaan selepas tamat istiadat angkat sumpah yang berlangsung di Istana Negara pagi ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 10.33 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut puluhan penyokong ketika tiba di kediamannya di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut puluhan penyokong ketika tiba di kediamannya di sini hari ini.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Muhyiddin, 72, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Muhyiddin kemudian menandatangani dokumen berkenaan.

Ia disaksikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!