Bergadai kerja demi jaga bapa saudara

JERANTUT – Seorang bekas pekerja kilang sanggup berhenti kerja untuk menjaga sepenuh masa bapa saudaranya yang mengalami kecacatan fizikal sejak lahir.
Noor Izam Ahmad, 52, dari Felda Sungai Tekam, di sini, menjaga Bidin Ariffin, 70, sejak awal tahun ini dan dibantu isterinya, Sharifah Mas 'Aza Mohamed, 44, yang bertugas sebagai penjawat awam.
Menurutnya, bapa saudaranya mengalami kecacatan lutut dan kedua-dua kaki serta terpaksa menggunakan papan beroda untuk bergerak.
"Saya mengambil alih tanggungjawab ibu yang semakin uzur kerana dia menjaga bapa saudara dan nenek sebelum ini," ujarnya.
"Saya nekad membuat keputusan ini dan bersyukur kerana turut mendapat sokongan isteri dan anak," katanya.
Ujarnya, setiap hari bapa saudaranya akan berada di beranda rumah sejak kecil.

"Selain cacat anggota, kedua-dua kakinya membengkok sejak dilahirkan yang menyukarkannya bergerak. Dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak di dalam rumah atau ke bilik air," tambahnya yang sebelum ini menetap di Semenyih, Selangor.
"Dia (Bidin) hanya boleh bercakap sepatah dua perkataan dan ketawa kecil, itu pun hanya kepada orang dikenali seperti jiran dan ahli keluarga," kata Noor Izam.
Jelas bapa kepada empat anak ini, bapa saudaranya tidak pernah mengalami gangguan kesihatan sejak kanak-kanak tetapi dua tahun lalu didiagnosis dengan penyakit darah tinggi dan hanya mengambil ubat disediakan.
Katanya, bapa saudaranya masih mampu berpuasa penuh sehingga kini walaupun kadang-kadang mengalami gangguan kesihatan.
Jelas Noor Izam, untuk perbelanjaan bapa saudaranya, pengurusan kebajikan dan keperluan peralatan seperti lampin pakai buang serta susu khas perlu disediakan setiap bulan menggunakan bantuan bulanan diterima iaitu RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya hanya bergantung pada gaji isteri untuk membiayai keperluan empat anak masih bersekolah, pembayaran bil dan barang keperluan dapur yang menelan belanja sekitar RM2,500 sebulan," katanya.
"Cuma sepanjang Ramadan lalu, saya dapat berniaga roti john untuk menambah pendapatan, namun tidak dapat meneruskannya pada bulan lain kerana perlu menjaga bapa saudara sepenuh masa," tambahnya.
Orang ramai yang ingin mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610541000057673 atas nama Bidin Ariffin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

