Bapa sambut anak lahir dalam kereta 1 Syawal

Tangkap layar hantaran pengguna TikTok @ayahali9889 pada Isnin.
Tangkap layar hantaran pengguna TikTok @ayahali9889 pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Tular satu video di media sosial memaparkan seorang bapa dengan tenang menyambut kelahiran anaknya di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik pada 1 Syawal.

Berdasarkan perkongsian pengguna TikTok @ayahali9889, dia terpaksa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan, kira-kira di Kilometer (KM) 258.1 berhampiran Tol Menora, Ipoh, Perak arah selatan, selepas isterinya mengerang kesakitan.

Menerusi video berdurasi satu minit 30 saat itu, isterinya sempat bertanya sama ada dia mampu menyambut kelahiran bayi atau tidak.

“Haaa... boleh (dalam nada panik tetapi tenang). Kejap abang cari lorong kecemasan.

“Okay, dah keluar kepala. Allahu Akbar (bayi lahir jam 7.45 pagi). ALLAH SWT beri kekuatan dan semangat. Kami sempat sampai ke klinik jam 8.10 pagi.

“Uri keluar semasa kami tiba di parkir klinik, tali pusat juga dipotong di situ. ALLAH SWT Maha Baik,” katanya menerusi perkongsian di TikTok pada Isnin.

Dalam video itu, bapa berkenaan tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana segala urusan dipermudahkan meskipun mereka tidak sempat tiba di klinik untuk proses kelahiran.

Difahamkan, lokasi bayi itu dilahirkan merupakan kawasan sama di mana mereka sekeluarga pernah mengalami kemalangan pada tahun 2022.

Di ruangan komen, warganet tidak henti-henti mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan keluarga kecil tersebut.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata mereka sebak melihat bapa kepada empat cahaya mata itu yang kekal tenang serta memberikan sokongan penuh kepada isterinya ketika berdepan situasi cemas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!