Ambil suplemen untuk sihat, tapi bawa mudarat

SHAH ALAM – Amalan pengambilan suplemen kesihatan secara semberono yang menjadi trend masa kini berisiko memberi kesan ketidakseimbangan nutrisi dalam badan pengguna, keracunan seterusnya boleh membawa kematian.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, ramai pengguna terpengaruh dengan idea bahawa suplemen boleh menggantikan makanan sebenar, termasuk nasihat pemilihan suplemen berdasarkan jenis darah.
Sedangkan menurutnya, pengambilan suplemen mengikut jenis darah tidak disokong oleh mana-mana bukti saintifik yang kukuh.
“Keperluan nutrisi individu lebih bergantung kepada faktor seperti tahap kesihatan semasa, sejarah perubatan, status pemakanan dan gaya hidup, bukannya semata-mata jenis darah.
“Statistik daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa dua daripada 5 orang dewasa di Malaysia tidak membuat pemeriksaan kesihatan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan tidak mengetahui tahap kesihatan terkini mereka.
“Justeru, kebanyakan mereka tidak mendapatkan nasihat kesihatan terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan produk suplemen.
“Ini meningkatkan risiko berlaku ketidakseimbangan nutrisi dalam badan, keracunan atau interaksi negatif dengan ubat-ubatan yang sedang diambil,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, antara bahaya pengambilan suplemen tanpa ilmu yang betul termasuk keracunan vitamin dan mineral akibat pengambilan dalam dos yang berlebihan serta kesan bahaya bahan kimia terlarang.
Sebagai contoh, pengambilan vitamin A secara berlebihan dan kronik boleh menyebabkan kerosakan hati, keguguran rambut, sakit sendi serta masalah tulang dan kulit.
"Selain itu, pengambilan suplemen yang mengandungi sibutramine, iaitu sejenis bahan kimia dan ubat yang mengurangkan rasa lapar juga boleh mengundang bahaya. Ia banyak digunakan dalam terapi obesiti terutama bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.
"Penjualan sibutramine di Malaysia juga telah diharamkan pada tahun 2012 kerana ia berupaya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok selain kesan sampingan terhadap sistem saraf pusat, saluran gastrousus dan sistem organ lain," katanya.
Tambah beliau, kegagalan buah pinggang akut boleh berlaku akibat pengambilan suplemen pelangsing badan yang dibeli secara dalam talian sebagaimana beberapa kes yang pernah dilaporkan.
“Satu kes yang pernah dilaporkan, seorang mangsa di Singapura dimasukkan ke hospital kerana mengalami halusinasi dan kegagalan buah pinggang yang teruk selepas menggunakan sejenis pil kurus.
“Pada tahun 2024, seorang wanita berusia 30-an mengalami kegagalan buah pinggang selepas mengambil suplemen pelangsing tanpa nasihat doktor,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, satu lagi salah faham yang perlu diperbetulkan adalah kepercayaan bahawa produk suplemen yang dilabel sebagai ‘semula jadi’ atau ‘herba’ sebagai selamat sepenuhnya.
Hakikatnya, pelbagai produk yang mendakwa bersifat semula jadi sebenarnya mengandungi bahan kimia tersembunyi yang boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah mengharamkan beberapa produk herba yang dicampur dengan steroid dan ubat kuat lelaki yang tidak diisytiharkan, yang boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang, strok, dan serangan jantung,” katanya.
Sehubungan itu tegasnya, pengguna diingatkan bahawa fokus utama dalam pemakanan harian adalah pengambilan makronutrien yang mencukupi daripada makanan seimbang.
Jelasnya, karbohidrat membekalkan tenaga, protein membina dan memulihkan tisu tubuh, manakala lemak sihat membantu fungsi hormon dan penyerapan vitamin larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K.
“Suplemen pula hanya melengkapkan keperluan mikronutrien apabila terdapat kekurangan yang telah dikenal pasti. Oleh itu, suplemen tidak harus menjadi amalan rutin sewenang-wenangnya tanpa keperluan yang sah.
“Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi bertauliah sebelum mengambil apa-apa suplemen.
Pemeriksaan kesihatan berkala dapat mengenal pasti keperluan sebenar badan, sekali gus mengelakkan risiko pengambilan nutrien secara berlebihan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kesihatan ialah satu amanah yang perlu dijaga dengan ilmu yang sahih, bukan melalui percubaan sembarangan atau ikut-ikutan trend semata-mata.
”Pengambilan suplemen tanpa pengetahuan bukan sahaja membazirkan wang, malah boleh mengancam nyawa.
”Masyarakat harus lebih bijak dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan, berpandukan fakta dan panduan profesional, demi kesejahteraan jangka panjang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
