Subkontraktor rugi RM1.29 juta terpedaya pelaburan saham palsu

KUANTAN – Seorang subkontraktor mengalami kerugian sebanyak RM1.29 juta selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, wanita berusia 34 tahun yang juga seorang juruaudit syarikat itu dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan pada 16 Julai 2024.
“Mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan lalu melabur RM50,000 dalam pakej asas dan menerima pulangan modal serta keuntungan berjumlah RM49,000.
“Kerana yakin akan memperoleh pulangan lebih tinggi, mangsa melakukan 26 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza dari 16 Januari hingga 23 Mac lalu, menyebabkan kerugian sebanyak RM1.29 juta,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Yahaya berkata, selepas pemindahan wang tersebut, mangsa diminta membuat pembayaran tambahan kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan yang dianggarkan bernilai RM3.15 juta.
“Pada ketika itu, barulah mangsa menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan.
“Sumber dana yang digunakan untuk pelaburan itu melibatkan wang simpanan peribadi, hasil gadaian barang kemas serta pinjaman daripada rakan-rakannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan membuat semakan sebelum melakukan sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Masyarakat digalakkan menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

