Wanita bersalin di tengah jalan saat gempa bumi gegar Thailand

BANGKOK – Seorang wanita selamat melahirkan bayi perempuannya di tengah jalan selepas terpaksa keluar dari hospital ketika gegaran kuat akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Myanmar dan turut dirasai di Thailand.
Kanthong Saengmuangshin, 36, berkata, pada mulanya dia ke hospital untuk menjalani pemeriksaan rutin kehamilan sebelum gegaran berlaku.
Bagaimanapun, ketika dia dan kakitangan hospital bergegas menyelamatkan diri ke lokasi yang lebih selamat, air ketubannya tiba-tiba pecah.
“Petugas kesihatan memegang kedua-dua lengan saya sewaktu kami menuruni tangga untuk keluar dari bangunan hospital.
“Saya sempat memberitahu bayi dalam kandungan ketika itu, ‘jangan keluar lagi’. Tetapi sakit hendak bersalin semakin kuat,” katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar, menyebabkan gegaran kuat dirasai di Thailand termasuk di ibu kota Bangkok.
Gempa yang berpusat di Sagaing, Myanmar itu berlaku pada jam 12.50 tengah hari (waktu tempatan) dengan kedalaman sekitar 10 kilometer.
Gegaran tersebut menyebabkan bangunan bertingkat di Bangkok bergoyang, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Bercerita lanjut, Kanthong berkata dalam keadaan panik dan bangunan yang bergegar, pasukan perubatan terpaksa membantu proses kelahiran bayinya di tengah jalan.
Menurutnya, suaminya juga tidak sempat menyaksikan sendiri proses kelahiran tersebut akibat situasi cemas yang melanda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
